Friday, September 11, 2009

FRAGMEN 12: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dam disiksa.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana hingga pihak media memaksa Presiden Amerika membuat kenyataan.


Foto: LablogExuberance.com

FRAGMEN 12
DETIK DEBAR

Media Centre, West Wing, White House, Amerika Syarikat

TUNJUK-TUNJUK perasaan anti Jennifer Miles kian merebak. Demonstrasi yang terjadi bukan sahaja tertumpu di negara-negara Islam, malah meletus juga di negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali, United Kingdom dan Sepanyol. Terdapat juga NGO-NGO di Jepun, Taiwan, malah Australia yang berdemonstrasi kerana mahukan stesen World Live Line memohon maaf kepada rakyat Palestin. Mereka turut menuntut Jennifer Miles dibuang kerja.

Namun, di manakah Jennifer Miles? Sejak beritanya muncul di kaca TV di seluruh dunia, Jennifer dikatakan menghilangkan diri. Walhal, dia sudah pun kembali ke Amerika dan diarahkan bertukar serta-merta ke meja politik oleh Miles Steward, CEO World Live Line, yang juga ayahnya.

Berikutan dengan tunjuk perasaan di merata dunia yang kian berleluasa berhubung dengan kematian dua kanak-kanak Palestin yang disabitkan dengan wartawan Amerika itu, David Doron menasihatkan John Martinez agar mengelak daripada membuat apa-apa kenyataan akhbar kerana ia adalah masalah seorang wanita di sebuah stesen TV swasta, yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan Amerika.

Sementelah pula kes itu melibatkan seorang wartawan, yang juga rakan sejawat mereka, para wartawan buat-buat tidak mengerti akan keengganan Tuan Presiden. Bila ada peluang, mereka terus mengerumun dan menghujani John dengan soalan-soalan mengenai kesan demonstrasi terhadap imej Amerika dan pandangannya terhadap kes Jennifer Miles.

Selagi John tidak melayani soalan mereka, selagi itulah mereka mendesak beliau. Akhirnya, pada penghujung sebuah sidang akhbar mengenai dasar kebebasan media, John terpaksa juga menyelitkan sedikit pandangan mengenai Jennifer Miles sebelum mengundurkan diri.

“…selepas ini, saya akan hadiri tiga buah lagi mesyuarat ~ kesemuanya mempunyai kepentingan terhadap masa depan kita. Cuma satu sahaja saya hendak perkatakan kepada rakyat Amerika… dunia tak perlu tunjuk perasaan hanya kerana seorang individu telah tersilap langkah.”

Kata-kata itu mengundang bisikan para hadirin di dalam dewan itu. Para wartawan mengambil kenyataan itu sebagai komen pertama Presiden mereka terhadap isu Jennifer Miles.

“Tersilap langkah yang bagaimana, Tuan Presiden?” soal seorang wartawan akhbar.
John Martinez berpaling dan menapak untuk melangkah pergi. Seolah-olah tidak peduli dengan soalan wartawan itu.

“Tuan Presiden…” pekik wartawan itu seraya berdiri.

Semua mata memandangnya. Kemudian pandangan masing-masing teralih ke arah Tuan Presiden pula. Masing-masing tertunggu akan drama yang akan berlangsung di depan mata. Lensa-lensa kamera dan mikrofon mula terhala ke arahnya. John mengukir sebuah senyuman. Tidak sampai hati hendak mengabaikan kehendak wartawan itu.

“Bagi saya, gadis itu tersilap kerana mengutamakan tugas melebihi keutamaan kemanusiaan. Tetapi, keghairahan menghebahkan berita tidak boleh mengatasi kepentingan nyawa manusia.”

“Tapi, Jennifer bertindak mengikut kewajaran suasana dan ketika. Andainya dia menghabiskan masa mneyelamatkan dua kanak-kanak itu, dunia tidak akan tahu apa yang terjadi di Al-Muntaseer. Dia membiarkan dua nyawa kanak-kanak terkorban untuk mengelakkan beribu-ribu lagi nyawa melayang dengan menghebahkannya kepada dunia secepat mungkin!” celah wartawan yang bertanya itu.

Hujahnya menghangatkan suasana di dalam bilik itu. Perlahan-lahan John melangkah kembali ke rostrum. Pembesar suara dicapai dan dia berdehem agar kata-katanya dapat didengar dengan jelas. Direnungnya wajah-wajah para wartawan yang kini menumpukan perhatian ke arahnya. Dari ekor matanya, dia nampak Setiausaha Akhbarnya, David Doron memandangnya dengan wajah kecewa kerana dia ingin memperkatakan hal Jennifer secara spontan. David bimbang, jika dia tersilap cakap, ia akan memberi kesan terhadap imejnya sebagai Presiden. Namun John sudah tidak peduli. Dia ingin menamatkan tanda tanya yang turut merimaskannya.

Setelah menghela nafas, dia berkata, “Saya sama sekali tidak menyalahkan Jennifer. Saya hanya katakan yang dia tersilap langkah… silap percaturan. Benar… kelantangannya menjadikan gadis itu ikon stesen TVnya. Malah, dia telah menjadi ikon kebebasan media dunia.

Saban hari dunia ternanti-nanti akan wajah dan berita yang dibawanya. Dia menjadi jurucakap dan lambang kebebasan media. Imejnya sempurna. Kerana itulah dunia terkejut melihat apa yang dilakukan Jennifer. Kesilapannya itu lantas meletup menjadi isu besar hingga boleh menjejaskan imej di antara negara.”

“Negara-negara manakah yang Tuan Presiden maksudkan? Di antara Amerika, Israel dan negara Palestin?” soal seorang wartawan wanita lekas mencelah.

“Apakah ini alasan mengapa Tuan Presiden sentiasa mengelak daripada mengulas mengenai kes Jennifer?” tanya seorang wartawan lelaki yang berbadan tegap pula.

“Di antara Amerika, Israel dan Palestin? Pastinya tidak! Maksud saya ia menjejaskan imej Amerika di mata negara-negara lain di dunia. Sebenarnya saya tidak mahu campur mengulas mengenai apa yang wartawan cantik itu lakukan,” jawab John, tenang.

“Benarkah begitu, Tuan Presiden?” Kedengaran satu suara lantang daripada arah belakang bilik itu. “Sebenarnya Tuan Presiden berdiam diri selama ini kerana tuan inginkan agar imej Jennifer Miles tenggelam!”

Seiring dengan kata-kata itu, seorang wartawan wanita berambut keemasan bergerak mencelah di antara para wartawan. Mata John Martinez terbuka luas bila dia mengenali wartawan itu.

“Jennifer Miles?” ujar John Martinez, sedikit terkejut.

Para hadirin mula berbisik sesama sendiri. Nampaknya suasana bukan sahaja semakin hangat, malah boleh menjadi gamat. Wartawan yang dikatakan menghilangkan diri rupa-rupanya sudah kembali ke Amerika. Dan kini dia sudah berada di Media Center, White House! Ya. Kesemua lensa kamera dan mikrofon kini memfokus ke arahnya pula.

“Yes, Mr. Presiden. This is me... Jennifer Miles!”


Bersambung Sabtu hadapan, 19.9.09, insya-ALLAH...

4 comments:

akimsensei September 13, 2009 at 1:41 PM  

wah, suspen.. apa la yg miles tu nak habaq kat mr president..

eyman hykal September 13, 2009 at 5:24 PM  

Sdra Akim,

Agaknya dia nak ucapkan Selamat Hari Raya! He3. Erm... sebenarnya akan ada dialog dan...

akimsensei September 25, 2009 at 4:09 AM  

haha.. terkena jugak den.. selamat hari raya jugak ye en.norden..

eyman hykal September 25, 2009 at 7:56 AM  

Selamat hari raya, Akim...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP