Sunday, March 27, 2011

FRAGMEN 66: DETIK DEBAR


Photo credit: vidrec.com

DARIPADA pentas utama, setelah menyaksikan seorang pesakit diusung ke dalam helikopter, kini sekali lagi tumpuan para VIP teralih ke arah sesuatu yang di luar acara. Mereka berbisik sesama sendiri tatkala menyaksikan sesuatu yang dramatik dan sinematik. Di sebelah kiri pentas, 10 buah kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia terhenti pergerakannya kerana di sebelah kanan pentas, ribuan pengikut-pengikut SAKA kini menghalang laluannya.

Di tengah-tengah, di antara kereta-kereta kebal dan pengikut-pengikut SAKA itu, berdiri Komisioner Polis, Datuk Farush Khan Akbar Khan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan Bakar Buang, Presiden Sekretarian Anti-Keganasan Amerika atau SAKA. Kedua-dua mereka kini menjadi tumpuan perhatian mereka di pentas utama.

Seorang bertubuh tegap, lengkap dengan uniform PDRM berwarna biru gelap. Seorang lagi berpakaian warna biru, putih, merah dan kuning, bertemakan Jalur Gemilang. Wajahnya juga dilitupi dengan bendera. Kedua-duanya kelihatan sedang bertekak dengan tangan masing-masing terkibar-kibar ke udara.

Beberapa orang pengawal peribadi dan anggota polis berpakaian preman mula merapati pentas utama sebagai langkah proaktif seandainya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Mereka yang berkawal berhampiran dengan tetamu kehormat pula kelihatan melingas kerana bersiap siaga.
Bersebelahan pentas utama, David Doron menyelak hujung baju di pergelangan tangannya. Menekur melihat jam. 9.55 pagi. Ya. Lima minit lagi. Lima minit lagi segala-galanya akan berakhir.

“David…” kedengaran suara Alvaro daripada fonsel tanpa wayarnya.
“Hmm…” jawab David, ringkas.
“Aku sudah bersedia. Beri isyarat bila tiba masanya!”
“Hmm…”

Pandangan David teralih ke arah lantai di mana John Martinez berdiri. Kelihatan John melangkah setapak daripada tempatnya berdiri untuk memerhati adegan di hadapannya. Dia kelihatan bercakap-cakap dengan PM.

David Doron mendengus. Dia mesti membawa John untuk berundur kembali ke tempat asal dia berdiri. Jika tidak, tembakan akan tersasar. Lantas dia membetulkan kacamatanya lalu melangkah menghampiri Tuan Presiden.

“John…” kata David seraya menarik bahu John Martinez. “Tuan mesti berlindung sedikit daripada terlalu terdedah.’
Pautan David memaksa John Martinez terundur selangkah. David menjeling seimbas ke tapak yang sepatutnya John berdiri. Setelah dia berpuashati, baharulah bahu John dilepasnya.

SEDIKIT demi sedikit, Fariz membuka pintu ke bumbung bangunan. Cahaya mentari pagi menyimbah tubuhnya. Angin deras menyapu tubuhnya. Sambil mengepilkan dirinya ke tembok dia menyusur perlahan. Matanya melingas memantau kawasan sekitar. Apabila tidak nampak apa-apa, Fariz melangkah keluar.

Dengan berhati-hati, Fariz melangkah ke kanan. Sekali lagi pandangannya meluru ke merata sudut kawasan bumbung banguanan seluas sebuah padang bola ini. Kemudian, dia melangkah ke arah kawasan yang menmghadap ke Dataran Merdeka. Bila menghampiri, bunyi riuh rendah orang ramai sayup-sayup kedengaran. Tetapi, apa yang dicarinya tiada di situ.

‘Mana orang yang aku nampak tadi?’ Fariz bertanya dirinya seraya memerhati ke sekeliling jawasan.
‘Apakah ada orang atau perasaan aku semata-mata?’
Perasaan was-was mula mengusik pertimbangan hatinya.
‘Aku pasti, aku Nampak seseorang di sini…’ tingkah fikirannya pula.

‘A’uzubillahiminasyaitanirrajim…’ Fariz bertaawuz untuk menghindar perasaan was-was bisikan iblis. Dalam keadaan sebegini dia tidak boleh melayani perasaan itu. Silap pertimbangan, buruk padahnya.
Dia melangkah lagi penuh hati-hati. Menghampiri kawasan yang penuh dengan tali temali. Setibanya di situ, Fariz menjenguk ke bawah. Tiada sesiapa di situ. Yang kelihatan hanyalah Jalur Gelilamg yang terjulur ke bawah, menutupi sebahagian daripada bangunan ini.

Suara orang ramai dari Dataran Merdeka semakin jelas kedengaran. Fariz sempat memandang ke arah pentas utama. Melihat orang ramai berpakaian berwarna-warni. Melihat kereta-kereta kebal yang nampaknya tidak bergerak. Namun, dari jarak yang jauh itu, Fariz tidak sedar drama yang terjadi di situ.

Dia menunduk. Darahnya berderau ke dada bila terpandang buntut rifal yang terjojol di sebalik plastik hitam berhampiran dengan tempatnya berdiri. Fariz membongkok dan cuba menyingkap plastik itu..

Tiba-tiba…
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP