Sunday, June 12, 2011

FRAGMEN 78: DETIK DEBAR




Photo credit: justread-whatever.blogspot

Hotel Prominent, Putrajaya

JOHN Martinez menguak langsir. Panahan mentari senja terus menyapu wajahnya. Dia memejam matanya dan membiarkan cahaya itu menghangatkan kulit mukanya. Memberinya sedikit kesegaran di sebalik kegalauan hatinya. Perlahan-lahan dia membuka matanya.

Pandangannya memantau jauh ke kehijauan dan singgah ke bangunan PICC yang tersergam. Kemudian pandangannya beralih ke bangunan Seri Perdana. Kibaran jalur gemilang di tiang-tiang lampu diperhatinya. Jalur merah putih itu mengingatkannya kepada stars and stripes, nama bagi bendera Amerika.

John mengeluh. Oleh kerana mempertahankan kedaulatan Amerika, dia terpaksa melakukan apa yang sepatutnya dibuat untuk menyelamatkan negaranya daripada terus dilanda hutang dan kemungkinan bankrap. Lalu dia menyuarakan komitmen Amerika untuk beralih ke sistem kewangan Islam untuk menggantikan sistem kewangan konvensional yang penuh dengan riba.

Malangnya, perjuangan John Martinez untuk negaranya ditentang oleh kumpulan yang mempertahankan sistem kewangan konvensional yang didalangi oleh The Group, sebuah kumpulan pelobi Zionis.

Kerana keberaniannya itu juga nyawanya terancam. Peristiwa yang berlaku pagi tadi di Dataran Merdeka nyaris meragut nyawanya. Mujurlah, di atas nasihat Ed Arden di saat-saat akhir, nyawanya terselamat!

……………………………..

Imbaskembali

JOHN
Martinez baru sahaja menyarung kot selepas menyisir rambutnya bila pintu biliknya diketuk. Tanpa sempat membukanya, pintu itu sudahpun terkuak. Ed Arden melangkah masuk dengan tergesa-gesa.

“You shouldn’t go, Mr. President!” ujar Ed Arden dengan wajah yang serius.
“Why? Is anything wrong?” soal John.
“Kita baru dapat maklumat daripada pihak inteligensia Malaysia… nyawa Tuan Presiden dalam bahaya!”
“Apakah kau pasti?”
“Saya bekerjasama dengan pihak Malaysia. Nampaknya, tuan patut menonton sahaja sambutan Hari Merdeka Malaysia di televisyen.”

John terpaku dan terkelip-kelip memandang Ed Arden. Walaupun berasa terkilan, namun dia perlu mendengar nasihat pegawai keselamatannya.
“Alright, if you say so…”
“Hmm-hmm…” Ed Arden mengangguk dengan mulut yang berkeriut kerana turut berasa terkilan Tuan Presidennya tidak dapat hadir di majlis sambutan Hari Merdeka Malaysia.

“Jack!” John memanggil.
Seorang lelaki muncul dari bilik mandi. Dia sudah berkot dan juga telah menyisir rambutnya.
“Yes, John!” jawab lelaki yang bernama Jack itu.
“It’s your turn again!” kata John Martinez seraya bersalaman dengan lelaki itu. “Good luck! Make sure you come back in one piece, huh?”
Jack hanya tersenyum tawar.

JOHN Martinez memerhati Jack melangkah keluar diiringi Ed Arden. Hanya setelah mereka berdua memasuki lif baharulah John menutup pintu bilik. Dia mengeluh dalam. Terkenangkan Jack, staf yang berwajah seirasnya yang sentiasa menjadi kembar atau double mengganti dirinya apabila pihak sekuriti curiga dengan keselamatan Presidennya.

Benarlah maklumat Ed Arden. Di kaca TV, John Martinez nampak bagaimana baju kemeja Jack berdarah. Dia nampak pasukan pengawal membentengi tubuh Jack yang cedera parah untuk dibawa pergi.

Tidak lama kemudian, John pula dibawa ke Seri Perdana untuk mengadakan sidang akhbar dengan lengannya sahaja yang berbalut. Menghebahkan yang dia terselamat daripada cubaan membunuhnya.
…………………………………….

KETUKAN dipintu menghadirkan lamunan John Martinez ke saat kini dan di sini. Seperti biasa, Ed Arden sudah muncul sebelum dia sempat membukanya. Wajahnya kelihatan amat sugul.

“Tak boleh diselamatkan?” tanya John.
Dia bagai sudah dapat meneka nasib yang menimpa Jack. Ed Arden mengangguk perlahan sambil mengetap bibirnya.

“Kalau begitu, uruskan mayatnya pulang. Sampaikan ucapan takziah saya kepada isteri dan anak-anaknya. Berilah bantuan segera kepada keluarganya.”
Sekali lagi Ed Arden mengangguk dan melangkah untuk berlalu.

“Arden…” seru John.
Ed Arden menoleh.
“Apakah awak dah lakukan tugasan seterusnya?”
“Saya akan diuruskan sekarang!” Ringkas sahaja jawapan Ed Arden sebelum dia melangkah pergi.

DAVID Doron sedang bersantai di katilnya ketika loceng di biliknya berbunyi. Dengan malas dia melangkah ke pintu. Dia mengintai melalui door viewer. Tampak Ed Arden melambai tangannya sambil tersengih. Tombol pintu dipulas.

Namun sebaik sahaja pintu terbuka, kepalanya diserkup dengan kain hitam. Dua orang lelaki menolaknya hingga rebah ke lantai. Meskipun meronta-ronta, dua orang lelaki itu terus menindih badannya. Salah seorang daripada mereka menikam jarum suntikan ke bahunya. Seketika sahaja David Doron tidak bergerak lagi.

“Hantar dia balik malam ini juga,” perintah Ed Arden yang sejak tadi hanya tercegat memerhati.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP