Sunday, June 19, 2011

FRAGMEN 79: DETIK DEBAR



Photo credit: sabah.gov.my

Hotel Prominent, Putrajaya

PAPARAN di komputer ribanya tamat. John mengeluh dalam. Dagunya diusap-usap kerana begitu gusar dengan apa yang dilihatnya. Jennifer Miles yang duduk di hadapannya hanya diam membatu. Memberi peluang kepada John untuk melayan fikirannya dalam suasana yang sunyi.

Sebentar tadi, Jennifer datang untuk menunjukkan kepadanya rakaman insiden cubaan membunuhnya daripada fonsel iPhone6nya. John yang meminta Jennifer memerhatinya di sepanjang Hari Merdeka setelah memperoleh maklumat sesuatu bakal terjadi terhadap dirinya. Dia tidak boleh menyuruh mana-mana pegawainya, lebih-lebih lagi David Doron kerana mengesyaki dia terlibat dalam cubaan membunuhnya.

Rasa geramnya belum hilang setelah melihat rakaman itu. Betapa ada manusia yang berniat untuk membunuhnya. Kalaulah dia mati akibat terkena tembakan, pasti negaranya huru-hara kerana dia tahu perancangan dalang yang inginkan dia menemui ajal.Mujurlah dia terselamat dalam cubaan itu. Jika tidak...

“Terima kasih, Jenny…”
Itu sahaja yang mampu John katakan setelah berdiam diri beberapa ketika.
Dia hanya membiarkan Jennifer Miles meninggalkan biliknya tanpa berkata apa-apa.



Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

FARIZ memantaukan pandangannya sebaik sahaja menjenguk ke dalam. Bilik mesyuarat ini sudah penuh. Terdapat tidak kurang 40 orang para pegawai tinggi kerajaan daripada pelbagai agensi di dalam bilik ini. Beberapa orang yang duduk berhampiran dengan pintu menoleh memandangnya.

Fariz hanya tersenyum dan tertunduk. Di kalangan para pegawai tinggi kerajaan, siapalah dia? Dengan sopan dia duduk di kerusi yang paling hampir dengan pintu. Fariz mengagak akan ada lagi jemputan yang datang kerana dia nampak beberapa orang petugas sibuk menyorong kerusi daripada luar bilik mesyuarat untuk memenuhkan ruang di bahagian belakang.

Fariz memandang ke sebelah hadapan. Barulah dia tersedar Tuan Aziz asyik melambainya sambil mengunjukkan sebuah kerusi kosong di sebelahnya. Dengan tertib, Fariz bangun dan melangkah perlahan. Tidak mahu menganggu para pegawai tinggi yang tekun membaca kertas laporan masing-masing.

“Ini, Fariz Zafar, pegawai Unit Risikan I,” Tuan Aziz memperkenalkan Fariz kepada dua orang pegawai bertubuh tegap dan berambut pendek yang duduk di sebelahnya. Fariz tidak jadi duduk apabila kedua-dua pegawai tinggi itu menghulurkan tangan masing-masing. Mata mereka mencerlang memandangnya.

“Fariz… tahniah khas daripada saya. Saya bangga dengan awak!” kata pegawai yang duduk paling hampir dengan Tuan Aziz.

Sambil merenung tepat ke dalam mata Fariz, pegawai itu menggenggam tangan Fariz dan menggoncangnya. Fariz berasa kaget seketika. Tertanya-tanya mengapa dua orang pegawai ini tampak teruja memandangnya. Namun, dia masih mampu menguntum senyuman.
‘Siapa dia orang ni?’ tanya hati Fariz.

“Fariz… inilah Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM…” ujar Tuan Aziz. “Yang ini pula Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Risikan ATM.”
Kini Datuk Amsyairi pula yang menyalaminya. Meskipun Datuk Amsyairi kelihatan lebih relaks, namun cengkaman tangannya persis orang yang hendak bergusti lengan dengannya.

“Sekali lagi, I nak mohon berbanyak maaf kepada Datuk Bad sebab orang saya ni dah ganggu kerja-kerja Special Branch!” kata Tuan Aziz sebaik sahaja Fariz mengambil tempatnya.

“Eh, no, no, no! Aziz… jangan cakap macam tu!” celah Datuk Badruldin. “Kita ni sama-sama buat kerja. Kerja kita ialah menyelamatkan negara kita daripada ancaman musuh. Saya faham, walaupun event mengawal keselamatan Hari Merdeka tu tanggungjawab bahagian I, tapi situasi ketika itu genting. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Budak saya ada beritahu, Fariz dah cuba hubungi kami hari itu tapi terdapat gangguan komunikasi. Mungkin sekali kerana talian sibuk atau bising ketika itu. Sebenarnya, Fariz telah buat satu keputusan yang tepat.”

“Saya pun suka cara Fariz selesaikan masalah dengan heli…” celah Datuk Amsyairi. “Ada aksi macam filem Hollywood! Tapi itulah tindakan pantas yang jitu. Umur masih muda, tapi macam orang yang dah berpengalaman bertugas.”

Fariz berasa begitu bangga dipuji begitu. Wajahnya terasa sebar. Agaknya mukanya sudah memerah menahan rasa malu. Dengan sopan, dia tersenyum sebagai tanda hormat kepada kedua-dua pegawai tinggi itu. Di sepanjang perbualan ringkas itu, Fariz perasan Tuan Aziz memandangnya dengan perasaan bangga.

“Jadi, bila Fariz nak join Special Branch?” Datuk Badruldin berseloroh.
“Hei, mana boleh. Dia lebih layak join Kor Risik saya!” celah Datuk Amsyairi.
“No way, my friends… no way!” jawab Tuan Aziz.

Meskipun Tuan Aziz tahu kedua-dua rakannya bergurau, namun dia tidak boleh menyembunyikan rasa risaunya. manalah tahu, Fariz pula mahu bertukar tempat kerja. Lalu ketiga-tiganya tertawa. Fariz hanya tersenyum-senyum. Namun hatinya berbunga-bunga riang. Benar-benar tidak menjangka, tugasnya yang sedikit setelah berhari-hari menjadi pak pacak kepada Jennifer Miles membuahkan hasil yang membanggakan pegawai-pegawai tinggi itu.

PINTU di sisi kerusi utama terkuak. Kelihatan Ketua Setiausaha NAgera, Tan Sri Ramlee Awang Murshid masuk. Bersama-samanya ialah Ed Arden, Ketua Keselamatan John Martinez. Para hadirin di dalam bikik mesyuarat itu terus mendiamkan diri. Masing-masing membetulkan kot dan duduk tegak. Menanti sebuah taklimat khas perisikan di atas jemputan KSN sendiri.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP