Sunday, July 10, 2011

FRAGMEN 82: DETIK DEBAR



Photo credit: technabob.com

Kompleks Bunga Raya, KLIA, Sepang

KAWALAN
keselamatan di lapangan terbang antarabangsa ini diperketatkan terutamanya di kawasan Kompleks Bunga Raya yang diperuntukan khas untuk VIP. Anggota polis yang beruniform kelihatan di mana-mana. Mereka yang berpakaian preman juga berkeliaran untuk mempastikan Presiden Amerika John Martinez dan rombongannya berangkat pulang dengan selamat.

BISIK juga menempatkan para petugasnya untuk memantau keadaan. Fariz turut hadir, tetapi kedatangannya hanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Jennifer Miles yang kini sudah menjadi orang penting John Martinez. Mereka berdua berbual di satu sudut yang agak jauh daripada orang ramai.

“Bila lagi hendak datang ke Malaysia?” pelawa Fariz.
“Bila pula Fariz hendak ke Amerika? Kalau awak datang, hubungi saya. Saya akan pastikan awak mendapat layanan VIP!” jawab Jennifer senang.
“Tahniah kerana sudah menjadi orang penting,” ucap Fariz.
“Kembali…” jawab Jennifer.

Kedua-duanya berbalas pandangan. Dalam hati mereka berkata, alangkah elok kalau mereka menjalin hubungan yang lebih erat. Namun, suasana telah membataskan perhubungan mereka sekadar kawan semata-mata. Mungkin kerana bahasa hati masing-masing disampaikan oleh mata adalah sama, mereka saling berbalas senyuman penuh makna…

“Jennifer!”

Fariz dan Jennifer sama-sama menoleh. Seorang gadis mat salih yang berbaju denim dan berjean biru berdiri terkelip-kelip seraya tersenyum memandang mereka. Rambut panjangnya yang berwarna perang diikat dengan ekor kuda.
“Hei, Irene! Apa awak buat di sini?” teriak Jennifer.
Mereka bersalaman dan berpelukan.

“Aku ke mari untuk gantikan tempat kau, . Ayah kau yang menghantar aku ke mari. Katanya, kerja kau di sini masih belum selesai. Kau ingat tak, NeoSteps?” jawab Irene.
Jennifer tergelak-gelak bila teringatkan yang dia seharusnya membuat liputan mengenai syarikat kasut NeoSteps yang akan membuka kilangnya di Malaysia. Tetapi minatnya terhadap politik membuatkan dia mengabaikan tugas hakikinya sampai ke saat ini.

“Oh, ya… Fariz… saya perkenalkan… inilah Irene Palin, rakan wartawan saya di WorldLiveLine!”
Fariz yang tercegat memerhati lantas tersenyum dan bersalaman dengan Irene. Jelas sekali Jennifer mengenali gadis yang berada di hadapannya. Kedua-duanya mula rancank berbual. Entah apa yang mereka bualkan. Lantas Fariz berundur beberapa langkah untuk memberi ruang kepada mereka berdua bertukar-tukar cerita.

“Assalamualaikum…” kedengaran satu suara.
Fariz menoleh. “Hmm… Palie. Apa kau buat kat sini?”
“Biasalah, bang. Baru cover sidang akhbar PM dengan John Martinez. Lepas tu saya datang sini sebab lama tak ronda-ronda kat sini,” jawab Palie dengan senyuman manisnya.

“Palie!”
Fariz dan Palie menoleh. Memandang Jennifer yang menggamit. Kedua-duanya menghampiri.
“Saya memang mengharap dapat berjumpa dengan awak, Palie! Saya nak ucapkan terima kasih,” kata Jennifer.
Gadis itu menghampiri. Mereka bersalaman.

“Irene… inilah lelaki-lelaki yang telah menyelamatkan nyawa saya!” ujar Jennifer.
Layar minda Fariz lantas memaparkan insiden-insiden dia menyelamatkan Jennifer di Glow Disco dan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Tindakan Palie yang menghempap Moussa di Dataran Merdeka tempohari juga tertayang di layar mindanya.

“Palie… saya perkenalkan Irene Palin. Dia juga wartawan!” Jennifer memperkenalkan.
“Hello…”
Mereka serentak tersebut perkataan itu. Membuatkan mereka berdua pula tersenyum-senyum malu pula.

“Hmm… saya nampak awak berdua ada keserasian!” usik Jennifer. “Nama pun dekat-dekat sama. Seorang bernama Palie… seorang lagi bernama Palin! Oh, awak berdua akan menjadi rapat dan mesra nanti.”
Jennifer mengenyitkan matanya. Mereka bertiga yang lain terus tertawa.

“Boleh awak jaga Irene?” tanya Jennifer.
Palie tidak menjawab. Sebaliknya hanya mengangguk seraya tersengih.
“Oh, Palie akan jaga Irene sepertimana saya menjaga awak, Jenny!”
Usikan Fariz pula membuatkan mereka yang lain tertawa riang.

SUDAH sejam rombongan John Martinez meninggalkan KLIA. Tetapi Fariz tidak meninggalkan lapangan terbang itu. Sebaliknya, dari Kompleks Bunga Raya, Fariz bergerak ke Balai Ketibaan KLIA kerana kebetulannya pada petang ini, Faryna dan keluarganya akan tiba daripada Jeddah setelah menunaikan umrah.

Daripada papan kenyataan di lapangan terbang, Fariz memperoleh maklumat, penerbangan SV 407 Saudi Arabian Airlines sudah pun mendarat sebentar tadi. Fariz tertinjau-tinjau ke dalam kawasan ketibaan menanti kemunculan Faryna.

Lega hatinya apabila terpandang serombongan jemaah yang pulang dari umrah mula muncul. Masing-masing nampaknya menyorong troli yang memuatkan beg, kotak dan bekas-bekas plastik besar berisi air zam-zam.

“Abang Fariz!”
Pandangan Fariz teralih ke arah gadis berjubah biru air sedang melambai-lambainya.
‘Faryna!’ kata hatinya.
Di belakang Faryna kelihatan kelihatan ayahnya Tan Sri Daud sedang menolak troli. Melangkah di sisinya pula ialah Puan Sri Salwa, ibu Faryna.

Gadis itu tersenyum manis seraya menapak menghampiri. Selang beberapa langkah di tempat Fariz berdiri, tiba-tiba gadis itu tertunduk. Matanya terkelip-kelip menekur ke lantai.
‘Cantiknya wajahmu…’ hati Fariz berkata-kata. ‘Kalau dulu, kau kelihatan lawa tanpa tudung… kini kau tampak ayu sekali…’

“Apa khabar, Fariz?” sapa Tan Sri Daud.
Fariz tidak sedar Tan Sri Daud sudah tercegat di sisinya. Malunya rasa apabila tangan yang dihulur Tan Sri Daud lambat disambutnya.
“Baik, alhamdulilah. Tan Sri, sihat?” jawab Fariz berbasa-basi. Itu sahaja soalannya kerana separuh terkejut. “Puan Sri… sihat?”
Kedua-duanya mengangguk dan tersenyum.

“Awak, sihat?” tanya Tan Sri Daud. “Saya dengar macam-macam cerita tentang Malaysia masa di Mekah. Semua orang Malaysia bercakap fasal huru-hara pada Hari Merdeka… Tentulah awak pun terlibat, kan?”
Fariz hanya tersenyum-senyum. Tidak mahu bercerita lanjut. Tan Sri Daud lekas mengerti kerana dia tahu kerja Fariz sebagai perisik.

“Ini untuk abang… cantik tak?”
Fariz menoleh. Memandang Faryna membuka sebuah jubah.
“Ryna… kenapa buka hadiah tu kat sini? Biarlah, kat rumah…” tegur Puan Sri Salwa.

“Ini baju jedi, tau?” kata Faryna seperti tidak mendengar kata-kata ibunya.
Jubah berwarna coklat itu mempunyai serkup kepala berbentuk tiga segi seperti yang dipakai watak pahlawan jedi dalam filem Star Wars.
“Itu bukannya jubah jedi… kan, mak dah kata… itu jubah fesyen Morocco!” celah Puan Sri Salwa.

“Erk!”
Faryna tersenyum seraya menutup mulutnya kerana malu. Tan Sri, isterinya dan Fariz sama-sama tertawa.


EPISOD AKHIR di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP