Sunday, July 17, 2011

FRAGMEN 83: DETIK DEBAR





Photo credit: rickrozof.file.wordpress

Teluk Benggala, Lautan Hindi

PESAWAT
Air Force One baru sahaja melintasi Lautan Andaman pada ketinggian 35,000 kaki. Kini ia meluncur memasuki Teluk Benggala pada kelajuan 800 kilometer sejam menuju ke Dubai yang menjadi destinasi kunjungan rombongan Presiden Amerika.

Ed Arden duduk di kerusi paling hadapan. Lelaki itu sedang mencatat sesuatu di iPadnya. Selang dua kerusi dari mereka, dua orang pengawal keselamatan yang berkaca mata hitam hanya duduk tegak. Tidak pasti sama ada mereka berjaga mahupun turut terlelap.

Dalam kesunyian senja di dalam pesawat yang dingin, John Martinez mengambil kesempatan melelapkan mata. Dia tidak mahu tidur di biliknya. Sebaliknya lebih senang berehat di ruang luar setelah bersembang dengan para pegawainya. Jennifer Miles yang turut serta, hanya berehat di kerusi paling hujung sambil membaca novel.

Seorang pegawai tentera wanita yang beruniform pramugari melangkah perlahan memasuki ruang. Dua helai selimut dikendung di lengannya. Apabila menghampiri Jennifer, dia mengambil sehelai selimut dan diberikan kepada gadis itu.

Jennifer mengucapkan terima kasih dengan gerak bibir sahaja. Tidak mahu suaranya mengganggu penumpang lain yang sedang berehat. Sejurus, pegawai tentera itu melangkah meninggalkan ruang itu.

Seketika, dia berhenti menapak dan menekur melihat jam tangannya. Ekor matanya menjeling ke arah John Martinez yang sedang nyenyak tidur. Jejarinya menekan sebuah punat di jam tangannya. Sebuah lampu kecil berwarna merah bernyala. Kemudian, dengan segera dia menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah.

DI LAUT Teluk Benggala, sebuah kapal sedang meluncur perlahan. Di sisi kapal itu tertera perkataan THE SEIG, yang bermaksud kemenangan dalam bahasa Yiddish, iaitu bahasa suku kaum Yahudi. The Seig bukannya kapal nelayan mahupun kapal dagang. Sebaliknya ia adalah sebuah kapal kecil yang dilengkapi sistem peluru berpandu!

Seorang lelaki yang berdiri di dek kapal menerima isyarat penggera daripada fonselnya. Isyarat itulah yang dinanti-nantinya. Dia segera mendongak ke langit. Mata kasarnya terpandang kerlipan lampu kecil dari sebuah kapalterbang. Dia segera mengangkat teropong.

“Air Force One menghampiri…” bisiknya seraya menekur memandang seorang petugasnya sedang tekun menekan papan kekunci komputer ribanya.

Tidak jauh daripada mereka, pelancar peluru berpandu SAM atau surface-to-air sudah sedia untuk dilepaskan. Pelurunya sudah didongakkan ke udara. Congakan koordinat telah dilakukan petugas itu di komputernya. Sebentar lagi, peluru berpandu akan meluncur ke udara membelah langit untuk menghentam dan menghancurkan Air Force One hingga menjadi debu yang bertaburan ke bumi!

“Ready to activate?” tanya lelaki yang berdiri itu kepada petugasnya.
“Ready,” sahut petugas itu.

Tanpa berlengah-lengah lagi, lelaki itu menunduk dan menekan butang ‘enter.’ Buntut peluru berpandu itu terus bernyala. Tenaga jet menyemburkan api. Menyimbah suasana yang suram di tengah-tengah lautan itu menjadi terang benderang. Sejurus peluru berpandu itu meletus dan meluru ke udara dengan bunyi dentuman diikuti bunyi desis yang kuat. Ledakan peluru itu membuatkan kapal kecil itu teroleng-oleng.

Seketika sahaja peluru berpandu itu meluncur dengan ekor api yang bernyala. Lelaki yang berdiri itu menghalakan teropongnya ke udara. Memantau pergerakan peluru berpandu itu. Kemudian sasaran teropongnya teralih ke pesawat Air Force One yang kelihatan lebih jauh di udara.

DI KOKPIT Air Force One, pembantu juruterbang ternampak isyarat di skrin radarnya. Kamera pesawat di perut pesawat segera dipaling untuk memfokus ke arah objek yang kelihatan bergerak itu.

“Hei… saya nampak sesuatu bergerak ke arah kita,” katanya kepada kaptennya.
Kapten Air Force One segera menoleh dan menekur memandang skrin. Dahinya berkerut. Perasaan curiga mula menujah-nujah di fikirannya. Dia ingin tahu objek apakah yang sedang meluru ke kapalterbang yang dipandunya itu.

“Dapatkan pusat kawalan Veer Savarkar…” gesa kapten kapalterbang.
Pembantunya segera menghubungi pusat kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar, sebuah lapangan terbang di kepulauan Andaman.

“Helo… pusat kawalan Veer Savarkar…” Pembantu juruterbang itu menekan-nekan butang perhubungan. “Helo… Veer Savarkar… helo… helo…”
Namun tiada jawapan.

“Bandaranaike pun tak menjawab…” kata kapten.
Ketika pembantunya menghubungi pusat kawalan Veer Savarkar, dia turut cuba menghubungi pusat kawalan lapangan terbang antarabangsa Bandaranaike yang terletak di Sri Lanka.

“Biar saya cuba USS Burke…” kata pembantunya.
USS Burke adalah kapal perang Tentera Laut Amerika yang ditempatkan di Lautan Hindi. Penerbangan Air Force One melalui kawasan ini turut dipantau oleh kapal perang USS Burke.
“Helo…” kedengaran suara daripada kapal USS Burke.

“Kami mengesan suatu objek yang terbang menghala ke Air Force One… apakah anda dapat mengenalpasti objek apakah itu?” soal si pembantu juruterbang.
“Oh… kami tiada maklumat mengenai apa-apa ancaman. Objek itu mungkin belon gas ataupun roket satelit yang dilancar daripada Institut Angkasa India!” jawab suara petugas di USS Burke.

Pembantu juruterbang itu memandang kaptennya. Mereka berdua mengangkat bahu. Meskipun tidak yakin dengan jawapan dari kapal USS Burke, mereka terpaksa percaya dengan maklumat itu.

DI DALAM kabin, Jennifer duduk berteleku memandang sang suria yang mula terbenam di balik awan tebal di ufuk barat. Meskipun lebih separuh mentari sudah tenggelam, kehangatannya masih terasa walaupun dipandang mata. Seketika lagi, alam akan menjadi gelap gelita. Bintang-bintang pula akan mengambil alih menghiasi langit dan bulan akan mengambil giliran sebagai raja di malam hari.

“Cantik ya, pandangan di waktu senja…”
Jennifer mendongak. Jennifer gugup seketika apabila lelaki itu berdiri di sisi kerusinya sambil menjenguk ke luar. Tidak sedar sejak bila lelaki itu bangun daripada tidur lalu menghampirinya. Matanya dan mata John Martinez berlaga.

“Boleh saya duduk di sini?” tanya John.
“Eh, sudah tentu Tuan Presiden. Ini kapalterbang tuan!” jawab Jennifer penuh hormat.

Dengan sopan, John duduk di kerusi yang berhadapan dengan Jennifer. Pandangannya memantau jauh ke horizon. Di sana kelihatan tanah daratan yang kelihatan berbalam-balam.
“Itu kepulauan Nicobar…” ujar John seraya mengunjuk ke hujung dunia. “Tahun lalu, saya ke pulau Jolly Buoy. Sehari suntuk saya skuba, mandi dan berbaring di pantai bersiramkan sang mentari. Saya…”

John terdiam apabila terpegun melihat Jennifer dari sudut sisi. Sambil mengelus anak-anak rambut perangnya ke belakang telinga, gadis itu mengintai ke kepulauan Nicobar. Wajah Jennifer dalam keadaan begitu menggamit rasa getaran di dadanya. Terdetik hati John untuk memuji kecantikan Jennifer. Dia menelan liur sebelum mengatur kata. Tetapi...

“John! Apa tu?” tanya Jennifer.
Lelaki itu serta merta mematikan niatnya apabila Jennifer bersuara dengan cemas. John segera menoleh ke arah telunjuk Jennifer ke luar tingkap. Matanya mencerlang apabila terpandang muncung sesuatu yang bernyala-nyala menuju ke arah Air Force One!
“Oh, my God! Ed…” seru John.

Bila terdengar namanya dipanggil, Pegawai Keselamatan yang masih asyik dengan iPadnya bingkas bangun dan meluru menghampiri mereka.
“Apa tu, Ed?” tanya John seraya mengunjuk ke arah peluru berpandu itu. “Saya fikir, awak perlu panggil kapten!”

Belum pun sempat Ed Arden bergegas ke kokpit di tingkat bawah, rupa-rupanya kapten juruterbang sudahpun naik ke ruang atas. Dia sendiri berasa terpanggil untuk menyampaikan maklumat yang diperolehi daripada USS Burke.

“Jangan bimbang, Tuan Presiden. Maklumat daripada kapal USS Burke mengatakan, itu adalah roket satelit Institut Angkasa India,” katanya.
“Walau apa pun… apakah awak tak nampak, roket itu menuju ke arah kapalterbang ini?” soal John.

“Memang betul buat ketika ini, Tuan Presiden. Tetapi sebenarnya kapalterbang ini juga bergerak. Dalam masa lima minit lagi roket itu akan dilihat menghala ke arah lain apabila kapalterbang ini menjauhi roket itu,” jawab juruterbang.

“Nanti dulu, kapten!” bantah Ed Arden. “Biasanya kita sudah maklumkan pergerakan Air Force One kepada semua pusat kawalan di setiap negara yang kita lalui. Kita mendapat kerjasama daripada semua negara supaya tiada apa-apa penerbangan yang menghampiri Air Force One. Ini prosedur standard. Kerana itu, saya berasa curiga! Awak mesti dapatkan kapten USS Burke! Saya nak bercakap dengannya!”

“Hei! Apa tu?” pekik Jennifer seraya mengunjuk ke arah langit.
Masing-masing teralih perhatian lalu menerpa ke tingkap-tingkap sebelah kiri pesawat. Mereka tergamam melihat sebuah objek melintas di atas kapalterbang. Lidah apinya jelas kelihatan bernyala-nyala daripada buritannya. Asapnya terus beku kerana kesejukan udara di angkasa. Meninggalkan garisan yang panjang di belakangnya.

“Itu peluru berpandu! Kita dalam bahaya!” perintah Ed Arden. “Kita mesti dapatkan pusat kawalan! Pinta bantuan!”
“Nanti dulu...” celah John. “Saya nampak sesuatu yang pelik!”

Ed Arden, Jennifer, Ketua Juruterbang dan kesemua para pegawai Presiden kini sudah berkerumun di tingkap-tingkap yang menghala ke arah kedua-dua peluru berpandu itu. Masing-masing tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan oleh John Martinez.
“Lihat! Peluru berpandu yang baru muncul tadi sudah memintas! Lihat! Peluru berpandu yang satu lagi itu pula sudah beralih arah!” kata John.

“Ia seperti kejar mengejar!” sampuk Jennifer.
“Saya rasa, peluru berpandu yang sedang mengejar itu dari jenis anti-balistik. Dan, peluru berpandu yang sudah beralih arah itu dari jenis surface-to-air! Lihat saiznya yang lebih besar… dan kelajuan peluru yang mengejar itu jauh lebih pantas…” jelas Ed Arden.

Masing-masing hanya mendengar ulasan Ed Arden sambil menonton sebuah tayangan di langit. Buat beberapa saat mereka memerhati bagaimana dua buah peluru berpandu berkejar-kejaran. Dan akhirnya, peluru berpandu anti-balistik itu berjaya menghentam lawannya. Impak hentaman itu menghasilkan sebuah letupan di langit. Suasana senja yang hampir gelap gelita tiba-tiba menjadi cerah. Kedua-dua peluru berpandu itu berkecai. Serpihannya terbang ke merata arah.

“Bersedia untuk terima kesan impak! Duduk semua!” pekik Ed Arden. “Duduk!”
Masing-masing meluru ke kerusi mereka. Suasana menjadi kelam-kabut. Sebuah bunyi dentuman kedengaran. Beberapa orang pegawai yang tidak sempat duduk, berjalan terhoyong hayang. Ada yang sempat berpaut di kerusi untuk stabil berdiri. Dua orang daripada mereka tersembam ke lantai.

Tenaga yang terhasil daripada pertembungan dua peluru berpandu itu sudah sampai ke Air Force One. Mengakibatkan kapalterbang itu bergegar dan tidak stabil kerana tertolak ke atas setinggi 500 meter. Namun, kejadian berlaku hanya beberapa saat. Tidak lama kemudian suasana menjadi tenang kembali.

John Martinez dan Jennifer memandang ke luar. Memerhati sisa-sisa letupan dua peluru berpandu itu. Cahaya api yang bertebaran di angkasa kelihatan menjunam ke bumi. Lama-lama cahaya api daripada serpihan itu menjadi bara dan akhirnya padam.

John Martinez tersandar di kerusi. Dia memejam mata dan mengeluh dalam. Berbagai telahan muncul di mindanya. Yang pasti, peluru berpandu yang pertama dihalakan ke arah Air Force One untuk membunuhnya. Dan, peluru berpandu yang kedua itu telah menghalangnya. Soalnya…

‘Dari mana datangnya kedua-dua peluru berpandu itu?’ tanya John di dalam hati.




TAMAT SETAKAT INI...

Pihak manakah yang melancarkan peluru berpandu untuk meletupkan Air Force One? Pihak manakah pula yang melancarkan sebuah lagi peluru berpandu yang berjaya memusnahkan peluru berpandu yang pertama? Jawapannya ada dalam novel DETIK DEBAR.

TERKINI! Panel penilai ALAF 21 telah menilai dan meluluskan penerbitan DETIK DEBAR!
Nantikan maklumat terkini dari blog ini.

Terima kasih kerana setia mengikuti fragmen-fragmen ini.
Salam dari saya; EYMAN HYKAL.

MINGGU DEPAN:
FRAGMEN 1; GERAK GEMPAR! (Insya-ALLAH)

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP