Friday, July 10, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 3

KISAH SETAKAT INI:
FARIZ ZAFAR, ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand sebagai penyeludup manusia. Tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda mula mengejarnya. Ketika menoleh untuk menembak, sebuah treler muncul dari arah hadapan! Fariz terpaksa membrek agar keretanya tidak dirempuh treler itu...

___________________________________________________________________________________


Foto: truckswallpapers.wordpress.com

Fragmen 3:
DETIK DEBAR

Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand
BUNYI keempat-empat tayar yang menggeser jalanraya kedengaran seperti satu raungan yang amat panjang. Menggemakan suasana sekitar. Keretanya menggelongsor jauh ke depan. Namun, takdir menentukan ia betul-betul berhenti sejengkal dari bumper treler besar itu!

Enjin keretanya tiba-tiba mati. Suasana sepi seketika. Fariz mengucap panjang di dalam hati. Lantas tangannya tertadah mengucap syukur kepada Illahi. Lalu melekapkan kepalanya ke stereng dengan matanya yang terpejam. Melepaskan sesak di dadanya. Hatinya benar-benar lega bila keretanya tidak bertembung dengan kenderaan gergasi itu. Jika tidak, nahas jadinya.

“Fariz, okey?” tanya Normala.
“Saya okey… Mala, okey?”
“Aku, okey. Jangan bimbang.”

Fariz memerhati dua orang lelaki terjun dari treler yang tinggi itu dan melangkah ke arahnya. Pada mulanya Fariz mengagak yang kedua-dua lelaki itu mahu melihat keadaannya sama ada cedera atau tidak apa-apa. Namun tekaannya meleset bila masing-masing mengacu senjata.
“Mala… ada dua orang lelaki bersenjata yang keluar dari treler! Dia orang ada AK-47! Siapa mereka ni?” bisik Fariz sambil menyampaikan maklumat kepada Normala.

“Tolong berikan gambaran tentang pakaian dia orang, Fariz. Mungkin aku boleh agak mereka dari kumpulan mana…” jawab Normala.
“Mereka berpakaian serba hitam. Baju dan seluar jenis yang banyak poket! Kepala dia orang pun berbalut dengan kain hitam… macam kain semutar orang Kelantan!” bisik Fariz lagi.
“Hmm, macam uniform. Setahu aku, pejuang PULO pun tak pakai uniform! Siapa mereka, ya?” tanya Normala kembali kerana dia juga tidak pasti siapakah mereka itu.

Salah seorang daripada mereka menguis muncung senjata sebagai isyarat agar Fariz keluar dari kenderaannya. Dengan bahasa tubuh yang universal, Fariz melangkah keluar daripada kereta dengan kedua-dua tangannya memangku kepala sebagai isyarat menyerah diri.

Salah seorang daripada mereka yang bermisai tebal dan berambut panjang menghampiri Fariz. Senjatanya terus dihala ke tubuh Fariz. Wajahnya garang tetapi kelihatan kedut-kedut di pipinya. Pasti usianya sudah melangkaui 50 tahun. Tampak urat-urat di matanya yang memerah.

Fariz berwajah tenang. Dia tahu, kalau dirinya mahu ditembak, awal-awal lagi nyawanya sudah dihabiskan. Mereka mengejarnya kerana mengesyaki dia punyai maklumat. Maklumat yang berharga yang dimilikinya. Setelah memperolehinya, dirinya mungkin akan dibunuh. Demikian mengikut teori yang dipelajarinya.

“Ambil dan buang pistol kamu ke tanah!” Perintah lelaki yang sama. “Aku tau kau ada simpan pistol kat situ!” Kali ini senjata AK-47nya disasar pula ke betis Fariz.
Fariz tiada pilihan. Perlahan-lahan dia membongkok dan menyingsing kaki seluarnya. Memperlihatkan sepucuk pistol yang terbalut di kakinya. Dia membuka ikatan senjata itu. Kemudian pistolnya itu dicampakkan sahaja ke tanah. Lelaki itu terpandang wayar yang melingkar daripada telinga Fariz ke dalam bajunya.

“Oooo… ada alat perhubungan, ya?”
Lantas lelaki yang bermisai tebal itu melangkah menghampiri Fariz. Perlahan-lahan, Fariz berdiri tegak ke posisi asal. Dengan kedua-dua tangan memanggung kepalanya. Bila tangan lelaki itu menggagau mahu mencapai alat perhubungan, sepantas kilat Fariz memutar kepalanya sekuat hati lalu melibas tangan lelaki itu dengan sikunya. Tangan lelaki itu tersasar dan tubuhnya mula tidak seimbang. Ekor mata Fariz menjeling lelaki yang seorang lagi sudah bersedia mengacukan senjata AK-47nya.

Tanpa membuang masa, Fariz merebahkan tubuhnya dengan menarik lelaki yang bermisai itu tumbang bersamanya. Lelaki itu langsung menindih tubuhnya. Itulah yang dimahu Fariz. Lelaki itu sebagai perisai manusia yang membuatkan rakannya yang seorang lagi teragak-agak hendak menembak Fariz kerana khuatir terkena rakannya pula.

Fariz terus bertindak. Pisau belati yang terselit di poket kecil di pahanya dikeluarkan. Tanpa teragak-agak, pisau itu dibenam ke betis lelaki yang bermisai itu. Lelaki itu meraung panjang. Dalam sekelip mata, Fariz sudah menindih lelaki itu. Tangan dan kaki lelaki itu sudah terkunci mati. Senjata AK-47 kini sudah bertukar tangan!

“Tembaklah aku kalau berani!” jerkah Fariz lalu menoleh ke arah lelaki yang seorang lagi dengan mata yang terbelalak.
Lantas dia berdiri sambil muncung senjata sudah tertekan dan sedikit terbenam ke pipi lelaki yang bermisai itu. Lelaki itu hanya terdiam dan terkelip-kelip tidak melawan. Bagai ayam yang sudah dikepit kepaknya dan menanti masa untuk disembelih.

“Kalau kau tembak aku, kawan engkau ni mati!” Fariz mengugut. “Letakkan senjata kamu!”
Dengan teragak-agak, rakan lelaki yang sedang membidik senjatanya beransur-ansur meletakkan senjatanya ke tanah. Fariz lekas-lekas mengambil senjata itu. Situasi sudah benar-benar bertukar. Si pemburu sudah menjadi mangsa. Kini kedua-dua lelaki itu pula yang berdiri dengan kedua-dua tangan memanggung kepala masing-masing.

Fariz merenung kedua-dua lelaki itu dengan pandangan yang tajam. Namun kedua-dua lelaki itu memandang ke arah lain kerana tidak mahu bertentang mata. Lelaki yang bermisai tebal itu terhembus-hembus nafasnya mempamerkan geramnya kerana tertewas. Kelihatan pipinya bergerak-gerak bila dia mengetap giginya menahan amarah.
“Woi! Apa yang kau buat tu?”

Tengkingan satu suara di belakangnya membuatkan Fariz tertoleh. Rupa-rupanya kenderaan pacuan empat roda yang mengekorinya tadi sudah berada kira-kira 3 meter di belakang keretanya. Dua orang lelaki juga sedang melangkah perlahan ke arahnya. Masing-masing menghunus senjata AK-47.

“Mala… musuh yang mengejar kita tadi dah sampai. Pakaian mereka pun serupa. Mereka macam dari kumpulan yang sama. Biar saya tangani yang depan… Mala tangani yang di belakang. Double impact! Sediakan pistol! Tembak sebaik sahaja bonet terbuka,” bisik Fariz dengan alat komunikasinya.

The Making of fragmen 3:
Inspirasi latar tempat : wikipedia/narathiwat
Musik
ketika menulis bab ini: youtube/the rock movie theme

9 comments:

salmah July 10, 2009 at 6:50 PM  

Abang Eyman...siksalah camnie...stress...tak puas baca fregmen jek...nampaknya tgk dvd bourne ultimatum la lepas ni...

BTW, keep up the good writing...keep the actions coming ;)

* sepupu salmah kat sebelah ni...tak baca buku melayu...konon takde 'kick'. tapi bila dia sama baca fregmen2 ni...'hmmm...not bad for a malay 'story'. hehe...dia belum tahu penangan penulis sebangsa! secara tak langsung, MENITI MAUT & MIKHAIL kat atas meja ni dah kena songlap!

eyman hykal July 11, 2009 at 4:19 PM  

Salmah... trilogi Bourne? Saya pun suka tu. Jangan lupa, Bourne 4 in the making! Latarnya kat South America. Singgahlah ke firstshowing.net dan tensionkan perasaan membaca tentang Bourne 4; kali ini bukan ditulis oleh Robert Ludlum, tetapi sudah 'diambilalih' oleh Eric Van Lustbader.

*Kirim salam kat sepupu Salmah. Hope she enjoyed reading the novels.

Web Sutera July 12, 2009 at 7:38 AM  

Thriller Robert Ludlum. Saya peminat tegar karya-karya beliau. Fiksyen beliau masih banyak lepak di rak buku, masih banyak belum dibaca.hihihi..

Eyman..PULO dah masukkah? Hihihi..teruskan. Ingat sahabat, PULO ok, yg tak ok ialah geng mafia yang mengawal industri dadah/jenayah/pelacuran di seluruh Thai termasuk 3 wilayah selatan tersebut.

Bila dibukukan nanti, saya harap sdr Eyman masukkan sejarah PULO. Kaji jangan tak kaji..! :-)

How's Mindanoa?

Anonymous July 12, 2009 at 10:20 PM  

Salam..en.eyman, bestlah dapat hero yang hebat aksi seni pertahan diri ni..dah macam jakie chan @ jet Li la plak..sy memang peminat setia 2 hero tu..(",)Teruskan aksi yang lebih mendebarkan semua peminat..Syok2..

eyman hykal July 13, 2009 at 4:19 AM  

Sdra Web,
Mengenai PULO mahupun Mindanao, insya-ALLAH akan saya cuba garap. Mudah-mudahan idea mari!

Sdra Anonymous,
Terima kasih kerana meminati dan kerana dapat menghayati. Jackie Chan dan Jet Li memang dua hero yang saya minati. Mudah-mudahan fragmen 4 nanti meningkatkan tensen! ;)

salmah July 13, 2009 at 11:36 PM  

Abang Eyman...TQ for the info.
EVL...First Daughter...is a good read.

Alina, sepupu salmah kata:
I quote, "not as fantastic as Vince Flynn's yet, BUT not bad a read for Malay books!"

yup, she enjoyed the read :)

Linda Amri July 14, 2009 at 4:47 AM  

salam saudara eyman,
wah! mmg penuh debaran, suspen dan mcm2 lagi tekaan yg menerjah kepala ini bila membaca fragmen2 ini.

bila boleh diterbitkan ni saudara? emmm tak sabar rasanya nak mengetahui kisah selanjutnya :-)

masukkan watak saya jadi heroin leh tak? hehe

eyman hykal July 14, 2009 at 10:49 PM  

Salmah,

Sudi luangkan masa utk mmbaca MMaut & Mikhail pun sudah cukup baik buat permulaan. Sampaikan salam padanya,ya? :)

Wslm, Linda,

Alhamdulilah kalau tulisan itu menimbulkan suspens. But, surprise... be very, very surprise untuk segmen berikutnya. ;)

DDEBAR akan terbit ssetelah saya siapkan keseluruhan manuskripnya.
Paparan fragmen dan feedback Linda akan memacu kelajuan menulis saya. TQ for the support. Salam.

akimsensei August 23, 2009 at 9:58 PM  

haha.. kak linda = mala je lah.. wah, double impact tu.. dahsyat..

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP