Friday, July 24, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 5

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1:
FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Bermula di fragmen ini



Foto: annies-letter.blogspot

FRAGMEN 5:
DETIK DEBAR

Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

SUASANA perkampungan ini begitu sunyi. Sesekali angin hangat 35 darjah selsius bertiup dan menerbangkan pasir-pasir halus ke seluruh kawasan penempatan rakyat Palestin ini. Di salah sebuah rumah batu di penjuru penempatan ini, suasananya sunyi bagai tiada berpenghuni.

Ruang dapur rumah ini kecil sahaja. Yang ada hanyalah sebuah tempat masak yang mempunyai dua tungku, beberapa buah pinggan daripada pelbagai warna kerana bukannya daripada set yang sama. Di dinding, terdapat kepingan-kepingan roti taboun, sejenis roti sebesar roti tempayan yang disangkut di dalam sebuah beg plastik.

Namun, ruang dapur di rumah ini ada satu kelainan. Di sudut lantainya terdapat sebuah lubang yang boleh memuatkan tubuh seorang dewasa. Lubang itu bukannya sebarang lubang. Ia sebenarnya lubang terowong sepanjang satu kilometer yang menembusi ke kawasan Rafah, Mesir. Malah, beberapa buah rumah di penempatan ini mempunyai terowong penyeludupan seperti di rumah ini. Apa sahaja barangan di seludup dari kawasan Rafah melalui terowong ini kerana laluan jalanraya telah ditutup oleh pihak keselamatan Mesir. Makanan, pakaian, peralatan elektrik, wang, malah senjata dibawa melalui terowong ini.

KEDENGARAN batuk-batuk kecil seorang kanak-kanak bergema dari dalam lubang itu. Jejari-jejari kecil kanak-kanak itu mula muncul ke permukaan lantai. Tangannya menggagau ke tepi lubang, tercari-cari tempat berpaut agar dia boleh keluar dari lubang itu. Kemudian Naeem menerpa ke tubir lubang lalu menjongkong. Tangannya terhulur untuk menyambut sesuatu.

‘Mbekkk…’
Muncul seekor anak kambing yang dihulur oleh abangnya Nazeem. Kanak-kanak itu menyambutnya dengan gembira. Lantas anak kambing itu dikendong dan dicium-ciumnya. Menumpahkan sayangnya kepada haiwan yang baru diperolehi daripada seberang sempadan.

“Jangan main-main aje, Naeem. Masukkan kambing tu ke dalam kandang,” kata si abang yang menjengulkan kepalanya dari dalam lubang itu.

Kemudian dia menghempuk sebuah bungkusan besar yang diikat dengan kain keluar dari lubang itu. Kerana tolakannya agak kuat, ikatan kain itu terburai. Mengeluarkan isi dalamnya iaitu buku-buku pelajaran sains dan matematik yang kelihatan kusam dan lunyai. Si abang kemudian menolak dirinya keluar daripada lubang itu. Di tangannya tergenggam sebuah radio kecil yang mendesah bunyinya kerana tidak menentu penerimaan gelombang siarannya. Radio itu diletakkan di tepi singki sebelum dia mengelap peluh di mukanya dengan kaki jubahnya.

“Kenapa tak ambil senapang dan peluru kat bawah tu?” soal Naeem kepada abangnya dengan selamba. Seolah-olah senapang dan peluru yang berada di dalam kolong terowong itu barang mainan dan bukannya barang berbahaya.
“Ah, biarkan kat dalam lubang tu. Biar ayah yang ambil pada malam nanti,” jawab Nazeem sambil dengan susah payah menolak sebuah tong kayu untuk menutup lubang terowong itu.

“Bang! Bunyi jet!” kata Naeem tiba-tiba dengan matanya yang membulat.
Si abang menghentikan pergerakannya lalu memasang telinga.
“Musuh, Naeem !” seru si abang lalu menerpa pula ke luar pintu dapur. Pandangannya terarah ke langit. Tertoleh-toleh dan tercari-cari pesawat musuh.

“Kita masuk ke dalam lubang!” cadang Naeem lalu cuba mengengsot tong kayu untuk membuka kembali permukaan lubang itu.
“Jangan! Lubang itu nanti jadi liang lahad kamu!” pekik si abang lalu menggagau tangan Naeem.

Langkah kedua-duanya terhenti dan tangan masing-masing secara spontan menutup telinga bila kedengaran bunyi letupan bom. Hanya sesaat mereka begitu. Sesaat kemudian mereka sudah keluar dari rumah itu dan berlari lintang-pukang mencari tempat perlindungan bersama lain-lain penghuni kawasan penempatan itu. Suasana menjadi hingar bingar.

Naeem yang berusia enam tahun lebih muda daripada abangnya terpaksa mengayuh langkah dua kali ganda lebih pantas daripada abangnya kerana langkah-langkah kakinya yang kecil. Bunyi bom kedengaran lagi. Mereka terus berlari ke arah kawasan perbukitan batu yang berhampiran.

Tiba-tiba Naeem menepis tangan abangnya. Lantas dia berpaling arah. Lantas berlari menuju ke rumahnya kembali. Si abang begitu terkejut dengan perlakuan adiknya.
“Naeem ! Naeem ! Kamu hendak ke mana?”
“Selamatkan kambing!” jerit Naeem tanpa menoleh. Kakinya yang tidak berkasut itu dibuka luas-luas agar cepat sampai ke rumahnya semula. Namun sebesar manalah langkah-langkah yang kecil itu.

“Jangan! Bahaya!”
Dengan wajah yang cemas, si abang terpaksa berpatah balik mengejar Naeem . Tiba-tiba bunyi jet mengaum di atas kepala. Bunyinya membingit telinga dan menggegar bumi. Kaca-kaca tingkap dan pintu kawasan penempatan itu mula pecah berderai kerana bunyi yang membingitkan itu.

“Naeemmmmmmmm…”
Belum pun habis laungannya, si abang melihat sebutir bom gugur dan menembusi bumbung rumah mereka. Satu letupan yang dahsyat kedengaran. Seluruh bumi bergegar. Si abang nampak Naeem melantun dan melayang ke belakang.

“Naeemmmmmmmm…”

The Making of fragmen 5:
Inspirasi latar tempat : Independent.co.uk/smugglers
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube.Muadz Amrullah (BaitulMaqdis)

4 comments:

Web Sutera July 24, 2009 at 8:15 AM  

Memang benar begini. Inilah realiti umat Palestin. Pun begitu, Amerika Syarikat dan EU serta Liga Arab terus menyokong ZIONIS YAHUDI laknat itu.

Subhanallah!

Anonymous July 27, 2009 at 3:50 AM  

Salam..Subhanallah..hebatnya si anak kecil,Naeem sudah shahid...Kuinsafi diri ini yg belum pastinya punya keberanian sebegini hebat..

Subhanallah..

Suatu cetusan scene yang begitu menusuk kalbu!

Allahu Akhbar!

eyman hykal July 27, 2009 at 5:23 AM  

Sdra WS,
Aku sendiri berharap bila jejariku menari di papan kekunci, memaparkan segala keburukan Zionis, aku juga sedang membantah kejahatan dengan tanganku, meskipun dalam bentuk fiksyen.

Sdra Anonymous,

Subhan-ALLAH. Alhamdulilah kerana dapat merasainya.

akimsensei August 23, 2009 at 11:09 PM  

syahdu..

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP