Sunday, April 24, 2011

FRAGMEN 70: DETIK DEBAR




Photo credit: filmotion.com

Dataran Merdeka

MOUSSA mendengus. Rasa marah menyelinap di hatinya. Bersusah payah dia datang ke negara ini untuk melaksanakan satu tugasan yang telah dirancang begitu rapi. Tiba-tiba ia tidak menjadi kenyataan. Meskipun orang lain yang tidak diketahui telah berjaya membunuh John Martinez, namun Moussa benar-benar tidak puas hati. Baginya, biarlah Gerakan Laskhar Jihad yang menyudahkan tugas membunuh pemimpin dunia itu.

Moussa mundar-mandir di tengah-tengah orang ramai. Memikirkan apa yang harus dilakukannya. Dan, dia teringatkan Omar. Lantas fonselnya dicapai untuk menghubungi lelaki yang menjadi kontaknya di Malaysia.

Moussa mendail. Fonsel dilekap ke telinganya. Kedengaran nada berdering beberapa kali hingga ia terputus. Moussa mendail lagi. Kedengaran kembali nada dering. Kali ini kedengaran bunyi panggilannya bersambut.

“Omar… ini Moussa…”
Panggilannya tidak bersahut. Kedengaran talian diputuskan. Moussa mendail semula. Beberapa ketika dia melekapkan fonsel ke telinganya. Matanya terkelip-kelip sambil telinganya menanti bunyi nada dering. Tetapi kali ini kedengaran nada dengut menandakan panggilannya tidak kesampaian.

Moussa mendail lagi. Dan lagi, dan lagi. Namun panggilannya tiada jawapan. Moussa mendengus. Hatinya membengkak kerana Omar tidak mahu mengangkat telefon. Kini dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Moussa menoleh ke kiri dan ke kanan. Memerhati keadaan di sekeliling sementara otaknya ligat berfikir apa yang harus dilakukannya.

Tiba-tiba pandangannya tertancap ke arah seseorang. Perlahan-lahan sebuah senyuman terukir di bibirnya. Dengan berhati-hati dia mengatur langkah menghampiri Jennifer dari arah belakang.

‘Sebelum aku pulang, baik aku selesaikan dendam ini. Sebenarnya dialah yang boleh membuat hati aku puas! Dialah menjadi penyebab aku ke mari!’ kata hati Moussa.

Darahnya mula mendidih. Dia teringat bagaimana anak-anaknya Naeem dan Nazeem menemui ajal. Jikalau Jennifer membawa kedua-dua anaknya ke hospital, tentu mereka masih hidup.
Tetapi Jennifer lebih mementingkan tugas dan glamournya sebagai wartawan yang terkenal. Lalu anak-anaknya dijadikan hiasan siaran agar dunia seronok melihat liputannya. Dan, Naeem dan Nazeem dinafikan kehidupan. Mereka mati di tangan perempuan ini!

Dada Moussa berombak kencang. Dia semakin menghampiri. Jelas sekali Jennifer tidak sedar akan kehadirannya. Biarlah. Biarlah nyawa Jennifer disudahkan di tengah-tengah khalayak ramai. Biarlah nyawanya juga menjadi taruhan. Andainya dia ditakdirnya ditangkap kerana perbuatannya membunuh Jennifer, itu tidak mengapa asalkan kematian kedua-dua anaknya terbela.

Langkah Moussa terhenti sebaik sahaja tangannya hendak menggapai tengkuk Jennifer. Sepantas kilat, Moussa berpaling dan melangkah perlahan-lahan menjauhi wanita itu. Kira-kira lima meter dia menapak, Moussa menjeling dan menoleh.

Mulutnya berkerinyut kerana ternampak Fariz bersama dengan wanita itu.

“FARIZ! Kenapa lewat sangat? Ke mana awak pergi?” soal Jennifer.
“Kita tak ada masa, Jenny. Teruskan kata… apa yang membuat awak cemas mencari saya?”
Jennifer terggeleng-geleng. Bagai orang mamai yang ingin menyedarkan dirinya. Lantas tangan Fariz ditarik. Lelaki itu diheret ke pentas utama.

“Saya nampak! Saya nampak muncung pistol muncul dari permukaan lantai tempat John Martinez berdiri. John membongkok apabila terpandang muncung pistol itu. Ketika itulah saya nampak John ditembak. Saya pasti ada seseorang yang berada di bawah pentas itu!”

“Okey. Kalau mana-mana pihak keselamatan inginkan maklumat dari awak, jangan beritahu apa-apa sebelum awak beritahu saya dulu. Jumpa lagi!”
“Awak hendak ke mana?”

Fariz tidak menjawab. Keterangan ringkas itu adalah maklumat awal yang cukup untuk Fariz bertindak. Dia menerpa ke sisi pentas, menyelak kain skirting yang menutupi lalu memboloskan dirinya. Meninggalkan Jennifer terpinga-pinga kehairanan kerana tindakan tangkas Fariz.

‘Siapa dia? Dia muncul dan menghilang pada setiap ketika. Apakah dia polis Malaysia seperti yang Ed Arden kata?’ soalan itu terlintas di benak fikiran Jennifer.

FARIZ menyarung kacamata night vision yang turut mempunyai fungsi pemantauan infra-merah. Dengan hati-hati dia memantau kawasan sekeliling. Mengecam cahaya merah yang melintas di pandangannya. Cahaya merah adalah haba yang menandakan sesuatu yang panas ada berhampiran. Yang ingin dikenalpasti adalah haba yang datang dari tubuh manusia, bukan haba dari sumber lain seperti binatang atau struktur lain yang mengeluarkan haba seperti generator.

‘Mudah-mudahan target tak sempat lari jauh…’ kata hatinya.
Sekilas garisan-garisan merah mengusik pandangannya. Petanda ada sesuatu yang berhaba pernah berada di kawasan berhampiran dengannya. Fariz menjuruskan pandangannya ke satu arah di tanah. Di situ terdapat lagi kesan-kesan haba.

Fariz menghampiri dan ternampak lubang perparitan yang sudah terbuka. Dengan pantas dia memboloskan dirinya ke dalam terowong. Menuruni tangga besi dari ketinggian tiga meter. Fariz menahan nafas. Bau di kawasan sekeliling menyesakkan hidungnya.

Dia memandang ke bawah. Dia nampak parit yang menjulur ke hadapan. Dengan berhati-hati Fariz melangkah. Untuk mengelak becak yang akan mengeluarkan bunyi hingga menarik sesiapa yang berada berhampiran.

Tiba-tiba kedengaran ngauman bunyi yang turut menggegarkan suasana sekeliling.Telinganya lekas mengekori bunyi yang semakin menghampiri. Angin deras menyerbu ke tubuhnya. Matanya cepat sekali menangkap cahaya yang tiba-tiba menyuluh tubuhnya.

‘LRT!’ getus hatinya.

Fariz segera menyandarkan dirinya ke tembok. Kedua-dua tangannya mencengkap kuat dinding batu di belakangnya. Angin yang menyerbu turut menggoyangkan tubuhnya. Matanya terpejam rapat kerana bunyi deru dan keriutan nyaring roda LRT yang menggesel rel membingitkan telinganya. Tren itu melintasi hanya sedepa jaraknya daripada tubuhnya. Di saat itu, dirinya terasa bagai ingin digilis LRT itu.

Seketika sahaja tren itu menjauh. Fariz menggeleng. Sedikit kesal kerana tidak memantaukan pandangannya lebih jauh. Oleh kerana terlalu asyik ingin mencari targetnya, dia tidak sedar yang dia berada di laluan LRT.

Fariz mula melangkah pantas. Sambil itu pandangannya memantau dan tercari-cari haba merah di sekelilingnya. Cahaya yang terang berbalam di hujung terowong menangkap pandangannya.
‘Itu stesen LRT. Kalau tak silap stesen Pasar Seni,’ kata hatinya lagi. ‘Mungkin target sudah tiba di sana.’

‘Zzzzup!’
“Argh!” Fariz terjerit.

Dadanya bergegar. Nafasnya sesak bila sesuatu terasa menghenyaknya. Fariz segera menyedut nafas dalam-dalam. Matanya melingas mencari cahaya haba. Kini cahaya itu dilihatnya berada di mana-mana. Petanda targetnya sedang berlegar-legar di sekelilingnya. Fariz menoleh ke sisinya. Kini, dia jelas nampak seorang lelaki bertubuh sasa sedang mencega untuk menyerangnya. Lelaki itu turut memakai kacamata night vision.

‘Hmm… yang diburu sudah ada di sini!’ kata hati Fariz.
‘Zzzup!’

Satu tendangan melintas di depan matanya. Fariz mengelak, namun tendangan itu terkena sisi kepalanya. Kacamata night visionnya terpelanting jatuh. Belum sempat dia mengecam siapakah yang menyerangnya, pandangannya sudah gelap! Tidak nampak apa-apa. Tidak tahu orang yang menyerangnya adalah Alvaro, lelaki Yahudi yang bertubuh sasa.

‘Ceh!’ Fariz mendengus di dalam hati.
Tanpa menunggu lagi, Fariz terpaksa membuka langkah seribu sebagai helah ke arah cahaya di hujung terowong. Dia berlari sekuat tenaganya menyusur di sisi rel LRT. Kilauan cahaya besi rel itu sahaja yang dapat membantu hala tujunya.

Tiba-tiba dia terasa kakinya dibentes. Fariz jatuh tertiarap. Namun dia dapat mengagak tubuhnya akan dihempap. Lantas dia menggolekkan dirinya. Benar jangkaannya, musuhnya sedaya upaya cuba memijak tubuhnya.

Fariz tidak boleh bertahan begitu. Penyerang yang berada di kedudukan yang lebih tinggi berpeluang untuk memenangi pertarungan. Dengan pantas, Fariz menggunakan kakinya untuk menendang kepala Alvaro. Giliran lelaki itu pula yang tumbang. Kacamata night visionnya juga terpelanting.

‘Padan muka!’ Fariz sempat tersenyum sedikit bila melihat Alvaro terkial-kial mencari kacamatanya di dalam kegelapan. Mata Fariz yang lebih lama tiada berkacamata sudah dapat menyesuaikan pandangannya di dalam kegelapan.

Pada saat ini, Fariz segera bangkit dan berlari kembali ke arah stesen Pasar Seni. Sambil berlari, tangannya mengambil sesuatu yang terselit di kepala talipinggangnya. Suatu alat kecil sebesar kepala mancis yang akan membantu tugasnya kelak. Pendengarannya menangkap bunyi tapak kasut Alvaro yang kini mengejarnya.

Kini Fariz sudah bersedia dengan alatnya. Lalu dia memperlahankan lariannya. Seperti jangkaannya, sekali lagi kakinya dibentes. Namun pada kali ini Fariz sudah bersedia.
Sebaik sahaja tubuhnya mencecah ke tanah, dia melakukan monkey walk, iaitu teknik pergerakan parkour yang menggunakan kaki dan tangan untuk bergerak pantas ke pelbagai arah.

Dari ekor matanya, dia nampak Alvaro terkeliru dengan pergerakannya yang pelbagai. Sebaik sahaja dia nampak Alvaro teragak-agak untuk menyerangnya, Fariz menerjah seperti harimau dan menolak Alvaro ke tanah. Lelaki itu jatuh terlentang. Fariz menindihnya.

Tangan kiri Fariz segera menampar pipi Alvaro untuk mengalih perhatian sementara tangan kanannya lekas-lekas menampar telinga lelaki itu. Pada saat impak tamparan itu mencecah telinga Alvaro, jejarinya menolak alat kecil itu ke dalam telinga Alvaro.

Kemudian, sepantas kilat Fariz bangkit dan lari lagi ke arah stesen LRT Pasar Seni. Meninggalkan Alvaro yang masih terpinga-pinga. Bunyi deruman tren LRT yang mendatang membuatkan Fariz tersenyum. Dengan segera dia melompat ke atas tren itu.

Fariz sempat memandang ke luar tingkap ketika tren melewati Alvaro yang kelihatan baru bangkit sambil berjalan terhenjut-henjut. Beberapa ketika tren bergerak, Fariz membuka fonselnya.

Satu butang di tepi fonselnya ditekan. Kelihatan lampu kecil berwarna hijau berkelip-kelip. Itulah lampu isyarat yang melontarkan gelombang dari alat yang berada di dalam telinga Alvaro ke skrin fonsel Fariz. Alat itu menghantar maklumat di manakah lokasi Alvaro.

‘Engkau tunggu, ya? Sekejap lagi aku datang cari engkau!’ bisik Fariz seraya tersenyum lagi.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP