Sunday, May 15, 2011

FRAGMEN 73: DETIK DEBAR



Photo credit: wn.com

Hotel Savana, Jalan Kelang Lama, Selangor

TERBELIAK
mata Alvaro dan Menahem memandang kaca TV. Pelbagai perasaan berkecamuk di hati mereka ketika melihat sidang akhbar di Seri Perdana itu. Mereka berdua begitu terkejut dan hairan bagaimana John Martinez masih bernafas walaupun dadanya telah ditembusi peluru. Kalau boleh, mereka tidak mahu percaya apa yang sedang ditonton. Kalau boleh, apa yang mereka tatap itu hanyalah lakonan dari sebuah episod soap opera.

“I’m dead!” bisik Alvaro akhirnya.
“We are…” Menahem mengiyakan.

Perlahan-lahan mereka berpandangan. Alvaro melepaskan keluhan yang panjang. Menahem pula mengetap bibir seraya mengusap janggutnya. Masing-masing tidak tahu apa yang hendak diperkatakan lagi.

Perasaan bimbang mula menyelinap di sanubari mereka. Masing-masing tahu apakah hukuman bagi ejen yang gagal dalam operasi. Sebagai anggota pasukan pembunuh upahan, hukuman di atas kegagalan adalah maut.

Apabila The Group mendapat tahu mereka gagal menamatkan riwayat John Martinez, mereka pula akan menjadi sasaran. Malah, pada saat ini pun mereka sudah mula dijadikan target.

Wajah-wajah mereka akan terpapar di skrin bilik-bilik operasi The Group di merata dunia sebagai ejen yang mesti dihapuskan. Profil mereka akan disebarkan ke fonsel ejen-ejen lain sebagai musuh. Jika sebelum ini mereka adalah asset The Group, kegagalan mereka menjadikan mereka liabiliti!

Mereka akan dihidu, dijejaki dan terus diburu oleh ejen-ejen The Group. Ejen-ejen itu juga adalah rakan-rakan seperjuangan mereka. Kegagalan memisahkan sempadan di antara rakan dan lawan. Kejayaan akan mengekalkan persahabatan. Kegagalan pula memutar paksi persahabatan menjadi lawan.

Kerana itu, mereka mesti lari dan menghilangkan diri. Kalau boleh hingga ke hujung dunia. Jika dikesan, nyawa mereka akan melayang. Ke manakah hala tuju mereka?
“Betul ke peluru kau tembus ke jantungnya?” tanya Menahem.

Alvaro melontarkan satu jelingan tajam. Hatinya amat terasa kerana Menahem bagai tidak mempercayainya.
“Apakah kau pasti yang kau telah menamatkan riwayatnya?” tanya Menahem lagi.
“What the **** ! Engkau ingat aku tak tahu kerja aku?” jawab Alvaro seraya merenung tajam ke wajah Menahem. “Aku dah mencabut berpuluh-puluh nyawa, kau tau tak?”

“Kalau kau tahu buat kerja, kalau kau dah begitu berpengalaman… itu siapa?” soal Menahem seraya menuding ke kaca TV yang memaparkan wajah John Martinez yang sedang beramah mesra dengan para wartawan.
“John Martinez. So what?” jawab Alvaro, marah.
“So what? Itu sahajakan jawapan kau?” bentak Menahem garang. “Kerana kau cuai, kita dalam bahaya sekarang! Kita akan mati dikerjakan.”

“Hei! Aku pun tahu yang kita kini jadi buruan!”
“Habis tu, kau sukalah! Kau suka kalau kita maut di tangan rakan-rakan kita sendiri kerana kegagalan kau?”
“Kenapa kau ulang-ulangkan kesalahan aku? Kau nak mampus?”
“Aku tak mahu mati! Lebih-lebih lagi mati akibat kelemahan kau!”

‘Klik!’

Menahem begitu terkejut dengan tindakan Alvaro. Dia segera mengensotkan tubuhnya ke belakang lalu tersandar di hujung sofa. Membatukan dirinya. Matanya tajam merenung muncung pistol yang tersasar ke dadanya. Menahem tahu, Alvaro mampu membunuhnya tanpa teragak-agak. Mengingatkan itu, Menahem menelan liur. Tekaknya tiba-tiba kering bila teringatkan mati.

“Apa kau cakap?” soal Alvaro perlahan seraya mencebir. “Sekali lagi kau mengutuk aku, peluru ini akan menembusi dahi kau.”
“Kau memang tak boleh dikritik…” Menahem menjawab.

‘Tam!’

Sebutir peluru muntah dari muncungnya. Menembusi kusyen betul-betul di kanan kepala Menahem.

“You move… you're dead! Aku beri amaran kepada kau, Menahem…”
“Sampai bila?” Alvaro memberanikan dirinya menyoal.
“Sampai aku bosan!”
“Sampai bosan?”
“Ya… sampai aku bosan. Bila aku bosan, aku akan tembak juga kau sebelum aku menghilangkan diri!”

“Apa? Kau gila ke?”
“Macamlah kau tak tahu… bukankah kita ini orang-orang gila?”

‘Ting! Tong!’

Loceng di bilik berbunyi. Menandakan seseorang ada di depan pintu. Tanpa melepaskan sasaran pistolnya ke arah Menahem, Alvaro melangkah perlahan dan mengintai ke luar pintu melalui door viewer.
“Room service...
kau ada panggil seseorang?” tanya Alvaro.
“Hmm.. aku pesan makanan untuk dua orang masa kau tidur tadi!”

Alvaro mengorak senyuman. Marahnya terhadap Menahem terbang menghilang. Hilang rasa amarahnya hendak membunuh Menahem. Di mindanya terbayang dulang hidangan yang ditatang petugas hotel yang sedang menanti di luar bilik. Sambil menjeling meluat ke arah lelaki itu, Alvaro segera menyisipkan pistolnya ke belakang pinggangnya. Pintu dibuka.

“Your meal, sir,” ujar petugas hotel itu seraya tersenyum dan tunduk sedikit tanda hormat.
Alvaro hanya mengangguk. Tidak senyum pun. Namun, dia perasan sesuatu. Di manakah dulang yang ditatang oleh petugas hotel ini tadi?

“Argh!”

Rasa bisa menyucuk ke perut Alvaro. Lalu tersedar dia diserang petugas hotel itu. Lantas cuba menggapai pistol yang tersisip di belakangnya.

“Argh”

Kini dia terasa dadanya pula ditembusi sesuatu. Alvaro terundur-undur. Penyerangnya itu segera menyambar tubuh Alvaro yang terhuyung-hayang. Tubuh itu dipeluk dan didakap erat. Lantas penyerang itu melekapkan lengannya ke atas bahu Alvaro.

Menahem mula mengesyaki Alvaro ditembak. Dia berdiri dan nampak petugas hotel itu menggunakan tubuh Alvaro sebagai perisai. Tiba-tiba dari atas bahu Alvaro, Menahem nampak muncung pistol terhala ke arahnya. Satu das tembakan dilepaskan.

“Argh!”

Menahem terasa dahinya pedih dan sengal. Lalu dia terduduk kembali. Telinganya terus berdesing. Matanya menjuling bila dia cuba memfokus pandangannya terhadap si penyerang. Namun otaknya sudah gagal mengawal otot-otot matanya. Perlahan-lahan Menahem tumbang ke kanan.

Separuh tubuhnya terbaring ke sofa sementara kedua-dua kakinya masih terlekap ke lantai. Sudah takdir Menahem mati dengan kepalanya ditembusi peluru. Seketika tadi, Alvaro yang menyuarakan akan menembak dahinya. Apabila Alvaro mengubah fikiran, Menahem mati juga ditembak di dahi oleh penyerang ini.

Melihatkan kedua-dua sasaran sudah tumbang, si penyerang menguis pintu hingga berdentum terkatup. Tubuh Alvaro segera diletak ke lantai. Kedua-dua jarinya terus melekap ke leher Alvaro. Tiada lagi denyutan nadi di situ. Lantas dia lakukan tindakan yang sama ke atas Menahem. Lelaki itu juga sudah mati. Si penyerang membuka fonselnya. Panggilan dibuat. Ke mana?

“Helo, BISIK… tugas selesai. Kemaskan bilik.”
Ringkas sahaja kata-katanya menyampaikan maklumat dan arahan. Sejurus panggilan diputuskan, dia mendail satu lagi nombor.
“Dua orang dah tak ada lagi. Kak Mala ada maklumat terkini?”

“Roger, Fariz! Amaran! Pak Arab yang seorang lagi tu ada kat depan bilik Jennifer! Akak kena bantu Jennifer! Over and out!” jawab Normala di hujung talian.

Fariz mematikan panggilan. Baru sahaja selesai tugas, dia mesti lakukan satu lagi tugas. Dia mesti bantu Normala. Dan Jennifer. Di layar mindanya terbayang Moussa mengasari Jennifer. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Nyawa wartawan itu dalam bahaya! Lantas dia bergegas keluar daripada bilik hotel. Meninggalkan mayat Alvaro dan Menahem yang mati dengan mata yang terbelalak.


Bersambung di Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP