Saturday, May 21, 2011

FRAGMEN 74: DETIK DEBAR




Photo credit: menjaringimpian.blogspot.com

Klang Valley Hotel, Kuala Lumpur

SETELAH
puas memantaukan pandangan melihat suasana malam Kuala Lumpur dari balkoni bilik hotelnya, Normala melangkah masuk. Bunyi isyarat daripada alat pemantau di komputernya membuatkan Normala mempercepatkan langkah.

‘Jennifer dah balik…’ kata hatinya.

Dia menekur ke skrin. Kelihatan Jennifer Miles sudah pun masuk ke biliknya. Normala mengalih pandangannya ke kaca TV. Tidak mahu melihat apa yang akan dilakukan Jennifer. Setelah lebih seminggu bertugas memantau wartawan itu, Normala sudah dapat mengagak rutin gadis itu. Dia akan biarkan Jennifer membuka pakaian dan mencuci dirinya.

Setelah sepuluh minit, baharulah Jennifer siap mandi dan akan membuka komputernya untuk menaip dan menghantar berita ke media WorldLiveLine. Sebaik sahaja Jennifer menghadap komputernya, di kala itulah Normala akan memfokus kamera spycam ke skrin komputer wanita itu untuk melihat laman-laman yang dilayari.

Tetapi, pada malam ini Normala perasan sedikit kelainan. Jennifer tidak jadi membuka pakaiannya. Sebaliknya, dia berpatah balik ke pintu. Normala tertanya-tanya mengapa Jennifer bertindak begitu. Siapakah yang ada di luar sana? Kelihatan Jennifer membuka pintu. Mata Normala mencerlang bila melihat siapakah orang tetamu Jennifer. Moussa Arafat!

“Alamak!” Itulah perkataan yang terpacul di mulutnya.

Normala nampak lelaki itu terus menerpa! Jennifer tidak sempat lari. Dia meronta-ronta untuk mengeluskan dirinya. Sebelum apa-apa yang terjadi, Normala mesti lakukan sesuatu. Dia mendail ke BISIK meminta bantuan.

JENNIFER akhirnya dapat meleraikan dirinya daripada cengkaman Moussa. Lantas dia bergegas ke pintu untuk melarikan dirinya.
“Hei! Kau nak ke mana?” jerkah Moussa.

Lelaki itu menghenyakkan dirinya ke belakang Jennifer. Wanita itu jatuh tertiarap ke lantai. Namun dia terus merangkak dan menggapai daun pintu. Moussa tidak akan membiarkan peluangnya terlepas begitu sahaja. Dalam kedudukan tertiarap juga dia merentap kaki Jennifer.

“No! No! No!” rayu Jennifer.

Kakinya berusaha menendang tangan Moussa agar kakinya terlerai dari cengkaman lelaki itu. Akhirnya dia berjaya. Lantas dia berlari ke belakang sofa. Airmatanya sudah gugur bercucuran. Menangis kerana geram bercampur takut. Traumanya diserang Moussa di Dataran Merdeka pagi tadi menghantuinya. Sengal di lehernya kerana dicengkam Moussa masih terasa.

“What do you want?” tanya Jennifer.

Moussa tidak menjawab. Dia bangun dan menendang pintu. Pintu tertutup. Lalu dia mengunci dan menyelaknya. Dengan perasaan geram dia menghampiri Jennifer. Gadis itu teracah-acah hendak lari. Dan Moussa mendepangkan tangannya. Bersedia untuk mencekau Jennifer seandainya gadis itu lari ke sebelah kiri atau ke kanannya.

Jennifer terpandang kusyen di sofa. Dia mengambil dan membalingnya ke arah Moussa. Lelaki itu menepis sahaja. Jennifer terpandang pula telefon. Lantas dia merentap wayarnya. Telefon itu juga dia baling ke arah Moussa. Lelaki itu hanya tunduk mengelak sambil tertawa terkekeh-kekeh. Telefon itu terhempas ke dinding. Berdentum bunyinya.

“Aku tak mahu membuang masa, wahai Jennifer Miles!” kata Moussa.
“Apa kau mau?” soal Jennifer lagi.
“Nyawa kau. Aku datang untuk membunuh kau,” jawab Moussa dengan suara menggeram.
“Kenapa? Dan, siapa kamu?”
“Kalau aku beritahu kau siapa aku... apakah kau peduli?”

Jennifer semakin cemas apabila Moussa mengeluarkan sebilah pisau belati yang tersisip di pahanya. Matanya terbeliak apabila kilatan pisau itu menyilaukan matanya. Bunyi ketukan di pintu membuatkan perhatian Moussa teralih ke situ.

Secepat kilat, Jennifer berlari mengeluskan dirinya ke belakang katilnya. Moussa hanya menoleh mengekori pergerakan Jennifer dengan pandangannya. Dia tidak pantas mengejar. Sebaliknya dia hanya menapak perlahan menghampiri Jennifer. Dia tahu Jennifer tidak boleh lari ke mana-mana.

Dengan tersenyum dia melompat ke atas katil. Memijak-mijak dan melompat-lompat gembira di katil Jennifer dengan pisau terhunus di tangannya. Sesekali kepalanya terangguk-angguk bagai meningkah irama yang kini bermain di dalam kotak fikirannya.

Sambil menari-nari, Moussa memutar tubuhnya. Sengaja berbuat begitu agar Jennifer terkhayal dengan teraian gilanya. Dari ekor matanya, Moussa nampak wajah Jennifer yang meluat dengan kelakuannya. Jennifer mencekak pinggangnya.

“Get off from my bed!” pekik gadis itu.
“Okey!” jawab Moussa. “As you wish!”

Tarian Moussa tiba-tiba terhenti. Dia tersengih-sengih dan terangguk-angguk tanda setuju. Dengan sekali lompatan, Moussa menerkam dengan pisau terhunus. Jennifer menjerit ketakutan sambil menutup kepala dengan tangannya. Tetapi Moussa dapat menghenyak tubuh gadis itu hingga terbaring di lantai.

DI LUAR, Normala sedang cuba membuka pintu dengan menggunakan master key. Setelah terkial-kial beberapa ketika, pintu berjaya dikuak. Tetapi, besi yang menyelak pintu masih menghalang ia daripada terbuka luas. Normala mesti membuka pintu itu lekas-lekas tetapi dengan penuh hati-hati. Moussa yang terdesak akan cepat-cepat bertindak sebelum dia dihalang.

“Help me! Help me! Mmmmph…”

Normala terdengar suara rintihan Jennifer. Rasa sayu menyentap di sanubarinya. Dia semakin cemas. Di layar mindanya, dia nampak Jennifer sedang dicekik Moussa. Kerana itu, dia mesti menyelamatkan gadis itu. Lantas dia cuba menggunakan pisau yang dibawanya untuk mengangkat besi yang menyelak pintu. Namun pintu itu tiba-tiba terkatup.



Moussa yang menendangnya!



Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP