Sunday, May 29, 2011

FRAGMEN 75: DETIK DEBAR




Photocredit: pitchfork.com


KEPALA Jennifer terasa berpinar bila Moussa menamparnya beberapa kali. Dia tidak berdaya untuk melawan apabila Moussa menarik dan mendudukkannya di atas kerusi. Lelaki itu pantas mengambil wayar telefon dan mengikat kedua-dua tangannya ke belakang.

Moussa memandangnya dengan mata terbeliak dan mulut tercebir. Jennifer juga tidak mahu kalah. Gadis itu menjegilkan matanya membalas pandangan tajam Moussa. Dia begitu geram kerana masih tidak kenal siapakah lelaki yang menyiksanya ini.

“Apa yang kau hendak dari aku?” soal Jennifer.
“Nyawa kamu!”
“Siapa kamu? Pengganas mana?” bentak Jennifer.
“Jangan panggil aku pengganas! Aku bukan penganas!”

Meskipun dengan tangan terikat, Jennifer masih berani menyoal Moussa. Baginya, tiada apa yang menakutkannya. Dia biasa melihat bagaimana tentera Israel menyiksa rakyat Palestin yang ditawan. Dia juga pernah ternampak bagaimana pemuda Palestin mendera tawanan askar Israel. Kerana itu, situasi yang dihadapiya kini tidak menggusarkannya.

“Bersedialah untuk mati, Jennifer Miles!” ujar Moussa seraya tersengih.
“Bunuhlah aku… kalau itu yang kau mahu! Tapi aku mahu tahu mengapa kau mahu tamatkan riwayat aku!”
“Apa? Kau tak tahu atau buat-buat tak tahu?”

Moussa menghampiri Jennifer dan mencekak pipi gadis itu. Mata pisau belatinya sudah mencecah kening Jennifer. Hujung matanya sudah terbenam sedikit. Kalau Moussa terus menekan pisau itu, matanya akan tenggelam dan menoreh kening gadis itu. Darah akan mengalir. Geram dan dendam Moussa sudah tidak tertahan-tahan lagi.

“Naeem? Nazeem? Apakah kau sudah lupa mereka?” pekik Moussa ke telinga Jennifer.

Kening Jennifer berkerut. Sungguh. Dia tak ingat. Malah dia tidak tahu siapakah Naeem mahupun Nazeem. Fikirannya tidak dapat menghantar apa-apa imej ke layar mindanya.
“Kau tersalah orang! Aku tak tahu apa yang kau cakapkan ni!”

Moussa mendekatkan wajahnya ke muka Jenifer, Hidung mereka hampir-hampir berlaga hingga mereka boleh terasa hembusan nafas masing-masing.
“Persistiwa di al-Muntaseer… apakah kau sudah lupa fasal dua kanak-kanak yang kau jadikan hiasan dalam liputan kau… padahal mereka sedang nazak?”

Kata-kata itu mengimbau kenangan lalu. Al-Muntaseer ialah sebuah perkampungan di Selatan Gaza. Dia mula teringat apa yang terjadi pada pagi itu. Ya, layar mindanya mula menayangkan peristiwa berbulan yang lalu…

…… …… …… …… …… …… ……

Imbaskembali: Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

SEBUAH van bergerak begitu perlahan merentasi kawasan runtuhan. Selain daripada mengelak halangan-halangan berupa batu dan perabot rumah yang berselerakan akibat dimusnah bom, kenderaan itu juga dipandu berhati-hati kerana tidak mahu menggelek mayat-mayat yang bergelimpangan.

Jennifer Miles, sudah tidak sabar hendak keluar daripada van itu. Wartawan WLL atau World Live Line, sebuah stesen TV itu liar memerhati kawasan sekeliling menerusi pintu van yang sentiasa terbuka. Sesekali, wanita itu menyuak anak-anak rambut yang menyapu wajahnya. Tiba-tiba Jennifer memanjangkan lehernya. Dia ternampak sesuatu.

“Stop, Ahmed! Stop!” jeritnya kepada si pemandu.
Tanpa menanti van itu betul-betul berhenti, Jennifer sudahpun terjun dan meluru ke satu timbunan batu-batan. Di situ, dia terbongkok-bongkok mengangkat dan mengenepikan batu dan kayu untuk menyerlahkan dua orang kanak-kanak terbaring berpelukan. Kedua-duanya bernafas seperti nyawa-nyawa ikan.

Jennifer menggamit Ahmed seraya menuding ke satu arah. Meminta Ahmed memandang sama. Ahmed memperlahankan langkah. Camcordernya segera dihalakan ke kawasan yang diunjukkan Jennifer. Dia terus memerhati skrin LCD untuk memfokus subjek. Jejarinya sedia menekan punat untuk merakam.

Namun, tiba-tiba Ahmed segera menghentikan tindakannya. Camcordernya diletak perlahan-lahan ke tanah. Mulutnya ternganga dan wajahnya kelihatan cemas. Lekas-lekas dia berlari sambil memegang kupiahnya kerana tidak mahu ia terjatuh ditiup angin. Ahmed terus berlutut dan melekapkan telinganya ke dada kedua-dua kanak-kanak itu.

“Subhan-ALLAH! Jenny! Mereka masih bernyawa! Kita mesti tolong mereka! Panggil ambulan!” seru Ahmed. Panik.
“Yang penting, selesaikan kerja kita dahulu. Kemudian barulah kita hantar mereka ke hospital!” bantah Jennifer.

“Ini soal nyawa, Jenny!” hujah Ahmed.
“Tutup mulut kamu! Ikut arahan aku!” pekik Jennifer hingga tegang urat di lehernya. “Pikul kamera! Halakan ke mari!” perintah Jennifer lalu bertinggung membelakangkan tubuh kanak-kanak itu. Mahu jadikan tubuh kanak-kanak itu sebagai latar penggambarannya! Sebagai gimik media.

Dengan hati yang membengkak, Ahmed pun duduk melutut agar dapat mengambil video yang separas dengan wajah Jennifer.
“Okey, Jenny… three… two… one… action!”

Pada saat itu, kedengaran suara rintihan dari salah seorang kanak-kanak itu. Namun, Jennifer tidak peduli. Yang penting ialah tugasnya. Yang mustahak ialah hebahan berita mengenai serangan jet Israel di al-Muntaseer.

Suara rintihan itu kedengaran lagi. Jennifer tidak kisah pun. Dalam keadaan panas terik, dia perlu segera membereskan tugasnya. Maka, apabila lensa kamera terarah ke wajahnya, Jennifer Miles segera mempamerkan senyuman yang paling menawan kerana dia tahu wajahnya sudah pun terpapar di berjuta-juta skrin TV di merata dunia


……
…… …… …… …… …… ……


‘HEI! Apa yang kau buat, ni?” pekik Jennifer apabila pandangannya tiba-tiba jadi gelap. Fikirannya segera meluru ke waktu dan saat ini.

Seketika tadi, tatkala memori Jennifer melayang dan menayangkan peristiwa di al-Muntaseer, Moussa pula bersiap-siap untuk menyelesaikan tugasnya. Dia merentap sarung bantal. Perlahan-lahan dia menghampiri Jennifer dari belakang lalu terus menyerkup kepala gadis itu hingga membutakan penglihatannya.

“Kau nak bunuh aku?” soal Jennifer meskipun dia sudah mengerti tujuan Moussa berbuat begitu ke atasnya.

Melalui pengalamannya menyaksikan penyiksaan kumpulan militan Islam, Jennifer tahu, apabila seseorang itu diikat dan kemudian diserkup kepalanya, itu petanda siksaan akan bermula. Seandainya siksaan telah dilakukan, tindakan menyerkup kepala dengan kain menandakan peringkat akhir siksaan akan dimulakan!

Peluh dingin mula merembes ke tengkuk Jennifer. Dia tahu, dia akan melalui peringkat terakhir ini dengan penuh kesakitan.

Dia sedar, dalam beberapa saat lagi, dia akan disembelih!




Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP