Sunday, May 8, 2011

FRAGMEN 72: DETIK DEBAR


Photo credit: powerpresent.blogspot.com

Hotel Savana, Jalan Kelang Lama, Selangor

SUARA orang bercakap-cakap seperti berucap menusuk ke telinganya. Alvaro membuka mata. Lalu mencapai jam tangannya. 5.00 petang. Sudah lama dia tidur. Dia menoleh ke skrin televisyen yang masih bersiaran. Terpampang di skrin, wajah Perdana Menteri Malaysia sedang bercakap. Alvaro menggenyeh matanya. Fikirannya tiba-tiba segar kerana teringat hubungkait Perdana Menteri dengan John Martinez.

Dengan segera dia membesarkan suara TV dengan alat kawalan jauh. Melihat imej PM di TV beransur-ansur menjauh. Kemudian lensa kamera beralih ke wajah John Martinez yang sedang tersenyum

“What the…” Alvaro hampir tercarut. Matanya mencerlang, langsung terbeliak.
Dia bagai tidak percaya apa yang dilihatnya di kaca TV. Kelihatan John Martinez sedang membetul alat pembesar suara untuk berucap. Alvaro tertoleh-toleh. Tercari-cari di manakah Menahem.

“Menahem! Menahem!” pekiknya.
“What?” jawab Menahem yang kebetulan baru keluar daripada bilik mandi dengan bertuala.
“Tengoklah itu… itu…” jerit Alvaro seraya menuding ke skrin televisyen.

Mulutnya terketar-ketar, jari telunjuknya kelihatan menggigil. Alvaro hilang kata. Di layar mindanya tertayang kembali apa yang dilakukan di bawah pentas. Jelas terpapar bagaimana John menekur apabila perasan tempat dia berdiri bergegar kerana ditumbuk Alvaro. Kerana ingin tahu apa yang berlaku, John membongkok. Ketika tubuhnya menghampiri lantai, Alvaro melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik.

Kedengaran jeritan John apabila dadanya ditembusi peluru. Sekejap sahaja kemejanya memerah apabila darah meresap dan melencunkan pakaiannya itu. Alvaro tersenyum sinis. Kemudian menyimpan senjatanya lalu menyusup menghilangkan diri.

"Macam mana boleh jadi begini? John Martinez kelihatan sihat walafiat!” kata Menahem.
Dia hairan.

Seri Perdana

SEISI Dewan Jamuan Khas sunyi sepi. Para wartawan bagai menahan nafas masing-masing kerana memberikan sepenuh tumpuan terhadap John Martinez yang kini sudah bersedia untuk memulakan ucapan dalam sidang akhbar ini. Di belakangnya, Ed Arden berdiri berpeluk tubuh mengawalnya.

“Hello, everyone!” tegur John Martinez memulakan pertuturan.
“Hi, Mr. President!” sahut beberapa orang wartawan.
John Martinez memandang ke sekelilingnya. Melihat wajah para wartawan seorang demi seorang. Senyuman dihulur kepada wartawan yang sudah mengenalinya. Kadangkala kepalanya terangguk-angguk apabila melihat wajah-wajah gembira senang melihat beliau masih bernafas.

“Hari ini merupakan hari yang mencemaskan buat saya,” John memulakan sidang akhbarnya. “Tanpa saya duga, seseorang telah muncul dan menembak saya dari jarak dekat. Penembak itu datang dari tempat yang saya tidak jangka. Dia menembak saya dari bawah pentas!”
“Bagaimana boleh jadi begitu?” tanya seorang wartawan barat.

“Apakah tiada pemeriksaan dan pemantauan seluruh kawasan?” soal seorang wartawan lain.
“Di mana pasukan keselamatan Tuan Presiden?”
“Apakah Tuan Presiden tidak mahu sebut kawalan keselamatan Malaysia yang longgar?”
“Mengapa tuan tidak mempastikan pasukan keselamatan tuan menjaga tuan sendiri, bukan pasukan keselamatan Malaysia?”

Begitu pantas wartawan-wartawan bertanya, terutamanya wartawan media Amerika yang menyoal Tuan Presiden mereka. Hujan soalan-soalan itu hanya disambut dengan senyuman tenang John Martinez. Kemudian, John memandang ke luar jendela. Membawa fikirannya melayang jauh. Perlahan-lahan dia mengetap bibirnya lalu berkata…

"Saya tak takut mati!” jawabnya tenang seraya menoleh memandang gerombolan wartawan di sekelilingnya. “Mati ada di mana-mana. Abraham Lincoln… John Kennedy… mati dibunuh. Roosevelt dan Ronald Reagan pun pernah cuba dibunuh.

Sebenarnya lebih 20 cubaan membunuh presiden Amerika telah terjadi. Semuanya berlaku di bumi Amerika. Saya tidak terkecuali. Dan, saya tidak hairan!”
“Mengapa Tuan Presiden berkata begitu? Apakah tuan sememangnya sudah bersedia untuk mati?” tanya seorang wartawan meminta kepastian.

“Ya!” jawabnya ringkas.
“Apakah ini bermakna tuan tahu ada sesuatu usaha untuk membunuh tuan?”
“Setiap presiden Amerika tahu kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu dunia juga bermakna dia juga dianggap musuh nombor satu dunia.”
“Ada mana-mana komplot atau konspirasi? Pengikut Osama Ben Laden, misalnya?” tanya wartawan itu meminta kepastian.

“Saya tidak terkejut andainya ia datang dari al-Qaeda. Saya juga tidak terkejut andainya ia datang dari luar atau dari dalam negara sendiri,” jawab John dengan yakin.

“Tuan Presiden…” Palie pula mencelah. “Kami tidak mahu mendengar retorik. Pagi tadi, kami nampak Tuan Presiden cedera parah terkena tembakan. Macam mana Tuan boleh nampak segar bugar seolah-olah tidak mengalami apa-apa kecederaan?”

John Martinez terus mengukir senyuman seraya menjeling ke arah PM di sebelahnya. Kedua-duanya mengangguk sedikit bagai sepakat mengenai sesuatu. Dewan jamuan sunyi sepi apabila John Martinez membuka butang baju kemejanya. Lantas dia berdiri.

Lensa kamera digicam kesemuanya tersasar ke tubuh John Martinez. Masing-masing memfokus ke dada John untuk mencari kesan balutan ditubuh itu. John segera meleraikan kemejanya. Menampakkan baju-T lengan pendek sebagai pakaian dalamnya. Dan balutan kemas yang lebarnya hanya sejengkal.

Bagai seorang model, John Martinez memutarkan tubuhnya 360 darjah secara perlahan-lahan. Ingin para wartawan yang hadir menyaksikan realiti bahawa dia tidak cedera seperti yang disangka.

Para wartawan berbisik sesama sendiri. Masing-masing berasa hairan apabila melihat hanya lengan John sahaja yang berbalut sedangkan mereka nampak John cedera parah di Dataran Merdeka pagi tadi. Mengapa John tidak cedera? Tidak masuk akal!

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP